MALAYSIA
Najib salahkan pihak lain untuk tutup ketidakjujurannya - Peguam SRC

Najib, menurut Lim Chee Wee, sering mengalihkan kesalahan ke atas pihak lain bagi menutup ketidakjujurannya dalam penyelewengan RM3.95 bilion daripada dana pencen penjawat awam. - Bernama
KUALA LUMPUR: Peguam SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak sering mengalihkan kesalahan ke atas pihak lain bagi menutup ketidakjujurannya dalam penyelewengan RM3.95 bilion daripada dana pencen penjawat awam.
Peguam SRC Datuk Lim Chee Wee berkata pembelaan Najib mendakwa ia adalah tanggungjawab Lembaga Pengarah SRC untuk melaksanakan usaha wajar (due diligence) dan melindungi pinjaman RM2 bilion pertama daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) namun sebenarnya Lembaga SRC belum pun wujud ketika pinjaman itu diberikan pada separuh kedua 2011.
"Respons Datuk Seri Najib bahawa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, beliau tidak boleh dijangkakan untuk melakukan usaha wajar, kerana ia adalah tanggungjawab perlindungan operasi seperti Lembaga Pengarah SRC atau Panel Pelaburan KWAP.
"Respons ini tidak boleh dipertahankan. Dalam konteks perolehan pinjaman KWAP pertama, plaintif (SRC) telah pun menetapkan bahawa tidak terdapat Lembaga SRC ketika itu dan Panel Pelaburan KWAP berasa terpaksa mengikut arahan Najib atas beberapa sebab, termasuk hakikat bahawa KWAP berada di bawah bidang kuasanya sebagai menteri kewangan," katanya.Beliau berkata demikian semasa penghujahan pada pendengaran saman sivil SRC berjumlah AS$1.18 bilion terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
Lim berkata Najib, dalam kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, telah menggunakan pengaruhnya ke atas KWAP untuk mempercepat pinjaman besar-besaran kepada SRC, walaupun tiada pelaburan yang akan berlaku.
"Beliau tahu bahawa tiada pelaburan yang akan berlaku, tetapi tetap bekerjasama dengan bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil untuk mendapatkan pinjaman itu dengan kadar segera bagi meneruskan penyelewengan yang akhirnya dana SRC, iaitu kedua-duanya merupakan penerima peribadi," katanya.
Beliau menambah pertikaian bahawa Najib, sebagai Perdana Menteri terlalu sibuk untuk membimbangkan dirinya dengan usaha wajar dan butiran, adalah tidak dapat dipertahankan.
"SRC tidak pernah menjadi projek yang biasa sahaja. Ia melibatkan RM4 bilion dana pencen penjawat awam yang disalurkan ke dalam 'syarikat baharu yang tidak mempunyai rekod prestasi yang terbukti' bagi mencapai keselamatan tenaga untuk rakyat dan selaras dengan aspirasi Datuk Seri Najib sendiri di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.
"Sememangnya, SRC malah dikonsepkan sebagai entiti yang serupa dengan Petronas. Akhirnya, tiada keselamatan tenaga dicapai," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.
Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan tindakan undang-undang pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah, salah guna kuasa, menyalahgunakan dana syarikat dan secara peribadi mendapat manfaat daripadanya.
Syarikat itu menamakan Najib bersama bekas pengarahnya Datuk Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail sebagai defendan pada Mei 2021.
Bagaimanapun, kemudian, ia mengeluarkan enam nama daripada saman itu dan mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan pertama dan kedua. Selain itu, Najib telah membawa bekas pengarah SRC International tersebut sebagai responden pihak ketiga dalam saman itu.
SRC menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab ke atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut Najib membayar balik kerugian AS$1.18 bilion yang dialaminya.
Ia juga menuntut AS$120 juta dan AS$2 juta masing-masing daripada Najib dan Nik Faisal, atas pelanggaran tugas dan pecah amanah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami