KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memaklumkan Kabinet mengenai terbitan bon AS$3.5 bilion bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Genting Sanyen Sdn Bhd oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nur Aida Arifin berkata Kementerian Kewangan tiada pengetahuan mengenai terbitan dua bon, masing-masing berjumlah AS$1.75 bilion, sedangkan obligasi pinjaman syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan akan memberi implikasi kepada kewangan negara.

Beliau berkata dua resolusi dengan tandatangan Najib dilampirkan pada Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) yang perlu ditandatangani oleh semua Ahli Lembaga Pengarah (BOD) menunjukkan bahawa keputusan muktamad sudah dibuat dan BOD hanya perlu menurut mandat itu.

"Dua resolusi terbabit adalah Minit 1MDB oleh wakil Syarikat Induk Berkaitan Prosiding Syarikat Subsidiari dan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Khas Secara Bertulis.

"Ini dapat dilihat dengan jelas dalam perolehan Genting Sanyen yang dibuat sangat pantas dan semua keputusan diperoleh melalui DCR tanpa dibawa masuk serta dibincangkan dengan terperinci dalam Mesyuarat BOD 1MDB walaupun membabitkan keputusan bagi pelaburan yang bernilai sangat tinggi," katanya.

Nur Aida berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 95 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram RM2.3 bilion dana milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Pada 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata sebanyak US$790.3 juta bagi pengambilalihan ekuiti Genting Sanyen oleh 1MDB diaturkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, dan diseleweng sebelum dimasukkan ke akaun Najib.

Menurut Shahrol Azral, perancangan Jho Low adalah bagi membolehkan wang 1MDB masuk ke akaun yang dikawal oleh beliau sebelum dimasukkan ke akaun bekas Perdana Menteri itu.

Pada prosiding hari ini, Nur Aida memaklumkan bahawa akaun peribadi Najib menerima US$30 juta daripada Blackstone Asia Real Estate Partners pada 2012.

"Kemasukan wang tersebut adalah sumber daripada terbitan bon berjumlah US$1.75 bilion yang dibuat oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy (Langat) Limited.

"US$30 juta dipindahkan melalui dua transaksi iaitu pada 30 Okt dan 20 Nov 2012," kata saksi pendakwaan ke-49 itu.

Blackstone ialah sebuah syarikat yang dikatakan dikawal oleh Jho Low melalui rakan sekutunya Tan Kim Loong, atau Eric Tan.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 24 Jan depan.

-- BERNAMA