NATIONAL
Nakbah 77: Laungan “Palestin Merdeka” bergema di ibu kota

Peserta himpunan mula berarak dari menara Tabung Haji menuju ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi British sebelum meneruskan perjalanan ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS). - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 peserta himpunan pro Palestin melaungkan “Bebas Palestin”, “Palestin Merdeka” dan “Hentikan Genosid” sempena memperingati ulang tahun ke-77 peristiwa Nakbah (Nakbah 77) di Kuala Lumpur.
Peserta himpunan itu mula berarak dari menara Tabung Haji sekitar jam 2.00 petang menuju ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi British sebelum meneruskan perjalanan ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sekitar jam 3.00 petang.
Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, Profesor Nazari Ismail selaku wakil penganjur kemudiannya menyerahkan memorandum peringatan Hari Nakbah kepada Kaunselor Politik United Kingdom di Malaysia, Ruzina Hassan di Menara Binjai.
Peserta himpunan kemudiannya tiba di tapak parkir kira-kira 100 meter berhampiran kedutaan AS di Jalan Tun Razak pada jam 3.30 sambil menyanyikan lagu-lagi perjuangan Palestin.Tujuan himpunan ini diadakan bagi membantah tindakan rejim Israel yang telah menjajah wilayah Palestin sejak 1948 yang menyebabkan 750,000 warganya dipindah secara paksa dari tanah air mereka.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (SEJAGAT) dan BDS Malaysia merupakan antara 31 NGO pro Palestin yang bergabung tenaga mengajurkan himpunan “Nakbah 77: Hentikan Genosid” di ibu kota.
Turut kelihatan beberapa anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal lalu lintas demi memastikan kelancaran himpunan hari ini.
Memorandum tersebut antara lain menggesa United Kingdom menghentikan penjualan senjata dan sokongan diplomatik terhadap rejim apartheid dan penjajahan pihak Israel.
Dalam kenyataan yang sama penganjur juga menuntut United Kingdom memohon maaf secara rasmi, untuk Deklarasi Balfour dan peranan dalam perampasan tanah Palestin.
“Pengiktirafan Nakbah sebagai ketidakadilan yang berterusan, termasuk hak untuk pulang untuk pelarian Palestin di bawah Resolusi PBB 194,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami