Nama PUNB sekali lagi dimanipulasi pihak tertentu

Firdaus Azil
Disember 18, 2017 09:29 MYT
Orang awam digesa untuk membuat laporan polis sekiranya dapat mengesan aktiviti penyalahgunaan nama PUNB" - Tan Sri Dr Ali Rustam.
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah mengenal pasti taktik beberapa pihak tidak bertanggungjawab menggunapakai logo, akronim dan nama perbadanan itu, serta menjadi perantara atau ejen bagi tujuan mengelirukan orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azhar Ahmad berkata, PUNB tidak pernah melantik atau menggunakan mana-mana khidmat perantara, persatuan, ejen atau wakil, untuk berurusan dengan usahawan dan bakal usahawan yang memohon pembiayaan daripada PUNB.
“PUNB memandang serius perkara yang tidak bertanggungjawab ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadap mana-mana persatuan, pihak ketiga, atau ejen yang mengaku menjadi perantara atau ejen PUNB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Oktober lepas, pengerusi PUNB Tan Sri Dr Ali Rustam berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kewujudan sebuah akaun laman Facebook menggunakan nama ‘Pinjaman PUNB’, dan ‘Koperasi PUNB (KPUNB)’, dengan kedua-duanya menawarkan pinjaman peribadi, perkahwinan, dan pinjaman perniagaan.
Selain itu, beliau turut menggesa orang awam untuk membuat laporan polis sekiranya dapat mengesan aktiviti sedemikian.
Sebarang pertanyaan tentang perkhidmatan PUNB boleh dibuat secara terus melalui Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300 13 7862, atau terus berurusan di ibu pejabat atau mana-mana pejabat cawangan PUNB di seluruh negara.
#Ali Rustam #Azhar Ahmad #Facebook #KOPERASI PUNB #mahkamah #palsu #pinjaman peribadi #polis #PUNB #usahawan