PONTIAN: Penanaman hibrid baru nanas di negeri ini, yang dinamakan nanas MS16, dijangka akan mula memasuki pasaran pada tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip berkata nanas tersebut, akan mula ditanam tahun hadapan menerusi beberapa penanam terpilih, setelah nanas berkenaan menjalani 10 tahun penyelidikan.

Beliau berkata penanaman hibrid baru nanas tersebut, bukan sahaja akan menambah varieti nanas yang dikeluarkan di negeri ini, malah selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk menambah keluasan tanaman nanas bermula tahun hadapan.

Zahari berkata kerajaan negeri turut merancang untuk mengeksportnya nanas ke beberapa negara termasuk ke China.

"Pengeluaran nanas Johor tahun lalu (2022) merekodkan 402,000 metrik tan melalui keluasan tanaman sebanyak 11,399 hektar dengan nilai eksport sebanyak RM1.2 bilion setiap tahun," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Hibrid Baharu Nanas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Stesen Penyelidikan MARDI Pontian, di sini.

Terdahulu, pelancaran tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan, yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Sementara itu, Ahmad berkata nanas MS16 yang berhasil tinggi dan berkualiti itu, berasal daripada kacukan induk jenis Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia, yang toleran (tahan) kepada penyakit reput teras bakteria.

Beliau berkata pengenalan hibrid nanas ini sebagai satu lagi pilihan alternatif varieti baharu nanas manis dan berkualiti kepada pengusaha serta penggemar nanas, di samping meningkatkan sumber genetik tanaman nanas di Malaysia.

Tambah beliau, Johor merupakan pengeluar nanas utama negara, menyumbang sebanyak 66 peratus dengan Pontian merupakan kawasan penanaman dan penyumbang utama nanas di Johor dengan pengeluaran 37,000 metrik tan setahun.

Pada majlis berkenaan, seramai 12 usahawan telah menerima benih nanas jenis baharu itu dengan setiap usahawan dibekalkan sebanyak 1,000 benih nanas.

-- BERNAMA