Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Nancy Shukri hari ini mencadangkan agar peguam yang mengetuai pasukan pendakwaan kes Liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Shafee Abdullah agar mengadakan debat terbuka dengan Majlis Peguam.

"Biar orang ramai dengar mereka berdebat. Cukuplah sekali diadakan. Shafee tidak perlu adakan sesi jelajah (roadshow)," katanya kepada media sempena sambutan Tahun Baru Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Kuching hari ini.

Beliau yang menjalankan tugas di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM berpendapat bahawa tindakan Shafee mengadakan forum penerangan mengenai kes tersebut dikhuatiri meninggalkan persepsi yang kurang baik terhadap pihak kerajaan.

“Saya lebih setuju kalau ia dilakukan secara tidak keterlaluan,” ujar beliau merujuk kepada perancangan jelajah (roadshow) forum penjelasan fakta kes seperti yang dianjurkan Pemuda UMNO bersama Shafee pada Selasa lalu.

Nancy berkata, tindakan Shafee yang memberi kupasan lanjut mengenai kes Anwar yang sudah diputuskan Mahkamah Persekutuan itu mungkin mendatangkan impak lain.

“Kerajaan tidak minta beliau melakukannya (penjelasan kepada umum) tapi Shafee melakukannya kerana wujud permintaan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

"Shafee sebelum ini hanya diminta untuk menjelaskan tentang kes tersebut kepada kumpulan antarabangsa yang terdiri daripada duta-duta dan wakil-wakil negara luar yang tidak memahami sepenuhnya tentang kes tersebut.

"Rakyat yang mahu mendengar fakta kes daripada Shafee kerana mereka tidak boleh membaca isi penghakiman itu sebab ia terlalu panjang,” kata Nancy.

Tambah beliau, orang ramai juga tidak jelas tentang fakta dalam kes tersebut kerana mungkin hanya membaca maklumat yang tersebar di media sosial, khususnya dari sumber pro pembangkang.

“Kita tidak boleh halang dia (Shafee). Dia bertanggungjawab memberitahu rakyat tentang hal yang terjadi kerana dia diminta berbuat demikian. Selama pun ini kewibawaannya diserang oleh pihak yang meraguinya.

"Dia pun dalam keadaan yang sukar sama ada mahu atau tidak melakukannya,” jelas Nancy yang menyatakan bahawa Shafee bertindak sedemikian kerana menyahut jemputan dan permintaan.


Nancy menjawab kepada media isu dialog terbuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
berkenaan kes Liwat II.