KUCHING: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan dakwaan beliau menggesa pengguna di negara ini untuk memakan itik sementara kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam.

Nanta berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu yang tidak sensitif dan seperti mempersendakan rakyat yang sedang dalam kesusahan.

"Sebagai seorang yang datang dari kawasan pedalaman di Kapit Sarawak, isu-isu seperti ini sememangnya amat dekat di hati saya dan bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.

"Saya dan semua warga KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) amat mengambil serius isu kenaikan harga barangan yang menekan rakyat. Sebagai menteri, tentunya saya sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi isu seumpama ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan satu gambar tular menunjukkan Nanta menggesa pengguna di Malaysia untuk memakan itik sementara kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam.

Sementara itu, Nanta berkata usaha mencari jalan penyelesaian masalah harga barang memerlukan masa kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi lain sebelum kerajaan dapat memberikan satu penyelesaian.

Beliau berkata isu kenaikan harga barangan sememangnya membelenggu dunia dan bukan sahaja Malaysia.

"Ini adalah kesan daripada penularan wabak COVID-19 yang telah melumpuhkan aktiviti ekonomi sejak sekian lama.

"Saya mohon kepada semua Keluarga Malaysia, janganlah kita mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan perkara-perkara berunsur fitnah seperti ini," katanya.

-- BERNAMA