MALAYSIA
NAS berupaya jana ekonomi RM2 bilion, cipta 2,000 pekerjaan - Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Alamat Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem Alamat Nasional (NAS) berpotensi menjana limpahan ekonomi sebanyak RM2 bilion dan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Sistem Alamat Nasional (NAS) bakal menjana RM2 bilion dan 2,000 pekerjaan baharu dalam lima tahun, dengan piawaian alamat yang sahih dan berpusat untuk lebih 12 juta alamat di Malaysia.
- NAS dijangka mempercepat respon kecemasan, kukuh e-dagang dan logistik, serta kurangkan kesilapan penghantaran melalui geokod dan pengecam lokasi unik.
- NAS dikenalpasti sebagai komponen utama Dasar 4IR dan Ekonomi Digital, dengan sasaran meningkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam serta daya saing negara.
Fahmi berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Beliau berkata pelaksanaan NAS diyakini akan membawa pelbagai manfaat nyata kepada rakyat, antaranya mempercepat dan memperkemas tindak balas kecemasan dalam situasi seperti banjir atau kebakaran, apabila pasukan penyelamat dapat mengenal pasti lokasi mangsa dengan lebih tepat.
"NAS juga akan memperkukuh sektor-sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier. Dengan penggunaan alamat dan koordinat yang tepat bagi setiap destinasi, penghantaran dapat dilakukan dengan lebih pantas, cekap dan mengurangkan risiko kesilapan," katanya.
Fahmi berkata NAS bukan sekadar menyelesaikan cabaran sedia ada, malah dijangka memberi impak sosioekonomi yang besar melalui peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan pengukuhan daya saing negara.
"NAS ialah sistem alamat yang autoritatif, berpiawai dan berpusat, disusun mengikut piawaian Jabatan Standard Malaysia. Setiap alamat akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi unik bagi menjamin keseragaman, ketepatan serta keserasian data," katanya.
Beliau berkata sistem ini akan membantu agensi dan jabatan kerajaan mengurangkan pertindihan maklumat serta memudahkan pengesahan alamat, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
"Walaupun anggaran semasa adalah 12 juta alamat, jumlah itu dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya.
Fahmi turut menjelaskan bahawa ketiadaan data alamat yang berpusat dan menyeluruh ketika ini menjejaskan kemajuan negara dalam membangunkan ekosistem digital yang kompetitif.
"Ia memberi kesan ketara terhadap urusan harian, termasuk penghantaran yang tertangguh atau tidak sampai, kelewatan tindak balas kecemasan, cabaran dalam perancangan utiliti dan infrastruktur, serta halangan kepada pertumbuhan sektor e-dagang dan kurier," katanya.
Menurut beliau, NAS turut dikenal pasti sebagai 'Needle Mover' di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan pendigitalan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami