KUALA LUMPUR: Apa yang dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR)  yang mengadakan sidang medianya semalam bagi menjelaskan kedudukan sebenar isu pemilikan saham adalah tidak profesional dan tidak sepatutnya.

Ahli Panel Pemantauan MACC Walter Sandosam berkata isu mengenai pemilikan itu sewajarnya dijelaskan lebih awal dan bukannya selepas pelbagai desakan daripada pelbagai pihak yang menuntut penjelasan.

“Sikap yang sedemikian pada saya adalah tidak melambangkan profesional. Perkara ini telah dibangkitkan dipelbagai platform dan tindakan untuk melengahkannya menimbulkan pelbagai spekulasi.

“Nasi sudah jadi bubur, jika anda bertanyakan saya apa yang perluj dilakukan saya rasa ia adalah sangat mengecewakan. Apakah ia mampu dan berharap bahawa orang akan mempercayainya? ” katanya ketika ditemubual oleh Astro AWANI.

Tambahnya dalam keadaan ketika ini, tindakan itu akan menyebabkan orang ramai lebih meragui kredibiliti dan juga ketelusan SPRM selaku badan yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini.

“Soal bersalah atau tidak itu biar mahkamah tentukan tetapi apa yang dilakukan oleh LPPR telah memusnahkan kredibitinya. Sekiranya mereka tampil untuk memberi penjelasan ketika ini mungkin ia tidak akan diterima dan orang ramai mahukan badan lain yang bebas untuk melakukannya,” atanya lagi.

BACA: Dakwaan terhadap Azam Baki: Pemilikan saham penjawat awam? Ini yang anda perlu tahu

Semalam LPPR memaklumkan pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam Baki berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, hasil penjelasan dibuat, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adik kepada Azam.

Justeru, beliau berkata, LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' dalam perkara tersebut.