GEORGE TOWN: Kedudukan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang tidak lagi menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan ditentukan selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan mengenai saman pemula yang dibuat keempat-empat mereka terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speaker DUN untuk menghentikan kerusi disandang tidak dikosongkan .

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diadakan hari ini, telah mengarahkan Peguamcara negeri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi memohon tarikh bagi menentukan permohonan saman pemula empat ADUN iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) untuk menghentikan kerusi disandang tidak dikosongkan.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tetap bertegas dalam mempertahankan mandat diberikan pengundi dan menegaskan wakil rakyat yang dipilih mestilah bertanggungjawab dengan tindakan yang bertentangan dengan mandat yang diberikan kepada mereka.

“Sebarang keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi hendaklah menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi yang terjejas itu kosong, mengikut mana-mana yang berkenaan dengan berpandukan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan dan hendaklah kekal seperti sedia ada.

“Oleh yang demikian, tidak akan ada sebarang persidangan untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.



Pada Rabu, Mahkamah Persekutuan Malaysia memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Keempat-empat wakil rakyat itu Zulkifli Ibrahim, Dr Afif Bahardin, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Zolkifly Md Lazim telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Kon Yeow  pada 3 Ogos lepas, menyambut baik keputusan di buat Mahkamah Persekutuan berhubung Perkara 14 A  Perlembagaan Negeri Pulau Pinang sah dan berpelembagaan dan memaklumkan kerajaan negeri akan membincangkan nasib empat wakil rakyat negeri itu yang tidak lagi menyokong PH dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Jumaat.

Bagaimanapun, semalam, empat ADUN yang keluar daripada PH dan menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam kenyataan bersama memaklumkan, mereka menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan namun tidak bersetuju dengannya dan meminta peguam mereka untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap mereka.