Nasra tiba-tiba jadi tumpuan, cetus kontroversi dan permohonan maaf kementerian Somalia
Faida Rahim
Ogos 4, 2023 23:01 MYT
Ogos 4, 2023 23:01 MYT
NAMA Nasra Abubakar Ali tiba-tiba jadi perhatian selepas penampilannya di acara balapan Sukan Universiti Dunia di China.
Pelari wanita yang mewakili Somalia dalam acara pecut 100 meter itu muncul sebagai pelari terakhir tiba di garisan penamat.
Ia bukan sahaja mencetus kritikan dalam kalangan organisasi sukan Somalia dan pemerhati sukan antarabangsa, malah menjadi jenaka di media sosial berkaitan gaya larian dan penyertaannya.
Nasra bukan sahaja dinilai tidak cukup cergas sebagai pelari pecut, malah ramai mempertikai kelayakannya untuk mewakili negaranya dan berada sebaris dengan pesaing-pesaing lain.
Dalam pertandingan itu, Ali mengambil masa hampir 22 saat untuk melengkapkan perlumbaan - hampir dua kali lebih lama berbanding pemenang, Gabriela Silva Mourao, yang mencatat masa selama 11.58 saat.
Dengan catatatn itu, Nasra dilabelkan sebagai 'pemegang rekod penamat paling perlahan' dalam sejarah pertandingan larian.
Tumpuan ke atas Nasra membuka kontroversi lanjutan apabila terdapat laporan yang menyatakan bahawa dia merupakan anak saudara kepada Pengerusi Persekutuan Olahraga Somalia, Khadija Adan Dahir.
Dalam satu kenyataan, Nasra berasa hairan apabila penampilannya disifatkan hambar serta dikritik hebat selepas perlawanan yang berlangsung pada Rabu.
“Orang Somalia tidak ada tempat untuk mewakili negara dalam pertandingan larian pecut. Namun saya telah berlari dengan kaki terseliuh, tetapi saya tetap dikritik,” katanya mempertahankan diri.
Dalam masa sama, ratusan pengguna media sosial yang kecewa telah berkongsi klip persembahan Nasra serta menyelar Kementerian Sukan Somalia kerana menghantar atlet yang jelas 'tidak terlatih' itu ke pertandingan berprofil tinggi.
Menteri berkenaan, Mohamed Barre Mohamud, juga telah membuat permohonan maaf kepada rakyat Somalia atas perkara yang disifatkan memalukan negara itu, selain berikrar akan menjalankan siasatan mengenainya.
Sementara itu, BBC melaporkan bahawa Somalia telah menggantung Khadija dan pegawai sukan yang terlibat kerana mengamalkan dasar nepotisme serta membenarkan 'pelari pecut baharu' bersaing dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.