Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mahu mengikuti jejak langkah bekas menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam menghidupkan semula tarian warisan negara yang dilihat kian pupus.

Sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mohamed Nazri berkata, beliau akan memastikan perkara itu terlaksana demi menjaga seni budaya Malaysia.

Untuk tujuan itu, satu kajian penyelidikan akan dibuat bagi mengenal pasti tarian kebudayaan yang kini dilupakan.

“Saya ingin ikut jejak langkah Tan Sri Rais Yatim. Jadi saya minta Ketua Pengarah buat penyelidikan , lihat tarian mana yang ada, tapi kini tidak lagi diamalkan,” kata beliau.

“Saya harap ia dapat hidupkan semula tarian warisan negara yang pupus . Ini mesti dilakukan, atau jika tidak, kita akan gagal melindungi dan memelihara seni budaya ,” tegas beliau dalam sidang media selepas membuat kunjungan pertama di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara disini.

Beliau dalam pada itu berhajat untuk memastikan lembaga pengarah dalam kementeriannya disandang oleh mereka yang layak dan berpengalaman dalam bidang berkaitan.

“Saya berhajat untuk memastikan lembaga pengarah kementerian saya diisi oleh mereka yang layak dan berpengalaman,” kata Mohamed Nazri yang mengambil alih portfolio barunya itu pada 16 Mei lalu.

“Saya yakin dengan cara ini, ia akan dapat memastikan bidang pelancongan berada pada tahap memuaskan,” jelasnya lagi.