Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini menyatakan kumpulan pengganas Sulu akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh.

“Jika mereka melanggar undang-undang Malaysia, mereka boleh didakwa di mahkamah,” kata Nazri.

Beliau menambah, insiden ini merupakan pencerobohan terhadap kedaulatan negara, bukan satu peperangan.

"Ia bukan satu peperangan, tetapi pencerobohan terhadap negara serta kedaulatan kita dan Malaysia telah bertindak dengan sewajarnya untuk menangani keadaan ini.

Menurut Nazri, sekiranya ia menjadi suatu peperangan, maka Konvensyen Geneva akan digunakan dan kumpulan pemberontak Sulu terpaksa menerima hukuman.

"Jadi, langkah terbaik ialah menyerahkannya kepada polis kerana apabila melibatkan keselamatan negara, ia menjadi tanggungjawab polis," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis dialog tentang penubuhan Majlis Hukuman di sini hari ini.

Mengenai Majlis Hukuman, beliau berkata masanya sudah tiba bagi Malaysia memberi pertimbangan terhadap penubuhannya untuk memperkemas pentadbiran keadilan di negara ini.

"Majlis Hukuman boleh memainkan peranan memupuk hubungan antara pendapat orang awam dan hukuman yang putuskan mahkamah," katanya.