SERI ISKANDAR: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan memberi tumpuan kepada sektor baharu dan baru muncul, termasuk tenaga boleh diperbaharui (RE), selaras dengan agenda kemampanan dan hijau untuk lima hingga 10 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Hasri Hasan berkata sektor-sektor baru muncul ini telah mengubah kaedah serta pendekatan agensi itu terhadap pelaburan, pembangunan modal insan termasuk projek, antara lain.

"Sebagai contoh, dari segi pelaburan, kita melihat banyak syarikat yang melabur di Malaysia memberikan banyak penekanan serta keutamaan bagi mendapatkan bekalan tenaga mereka daripada sumber boleh diperbaharui. Ada yang sebenarnya meletakkan peratusan tertentu seperti 10 hingga 15 peratus.

"Saya fikir di sinilah kerjasama merentas sektor menjadi sangat penting, Apabila kita mereka bentuk serta merancang taman perindustrian sebagai contoh, kita perlu melihat bagaimana untuk memastikan semua taman perindustrian ini dan projek kita mempunyai kelestarian tetapi pada masa yang sama, membawa masuk teknologi," katanya lagi.

Hasri berkata demikian semasa dialog khas bertajuk 'Sinergi Inovatif Ke Arah Pembangunan Mampan - Industri Baru Muncul untuk Hari Esok yang Lebih Baik' pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2023: Wilayah Utara di sini hari ini.

NCIA telah memulakan penerokaan ke arah langkah proaktif untuk memastikan keperluan pelabur ini dapat dipenuhi sepenuhnya.

"Kita perlu berbincang serta bekerjasama dengan banyak agensi dan kementerian di Malaysia seperti Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya kita boleh mempertingkat termasuk menambah baik dasar bagi menarik pelaburan," kata Hasri.

Dari segi pelaksanaan, NCIA bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk memastikan peringkat perancangan menangani dan memenuhi keperluan pelabur.

"RE adalah salah satu fokus utama kita dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, jadi kita perlu memastikan semua projek termasuk taman perindustrian akan menggabungkan elemen RE," tambahnya.

Sidang kemuncak sehari itu dianjurkan oleh NCIA bersama Kementerian Ekonomi, bertujuan menyokong usaha kerajaan persekutuan untuk menggalakkan pelaksanaan serta pencapaian SDG di peringkat negeri dan tempatan sambil meningkatkan kesedaran serta pemahaman tentang SDG di kalangan rakyat Malaysia.

Sidang kemuncak itu menekankan kepentingan koridor ekonomi termasuk penyepaduan mereka ke dalam Rangka Kerja SDG Kebangsaan dan menekankan keperluan ke arah penjajaran antara matlamat SDG selain rancangan, program dan projek peringkat tempatan, ia turut menekankan peranan kritikal pelaksanaan serantau dalam mencapai Agenda Kelestarian 2030.

-- BERNAMA