KUALA LUMPUR: Tiada negara boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi jika tidak memastikan urus tadbir yang baik, membanteras rasuah dan memperkukuhkan intergriti di setiap sektor.

Demikian jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika melancarkan Simposium Tahunan Ketujuh, ECoFI 2021 secara dalam talian pada Rabu.

"Kurangnya integriti di institusi, sektor awam dan swasta akan merugikan pertumbuhan ekonomi negara kita.

"Dalam situasi semasa ketika kita menghadapi cabaran ekonomi dan kesihatan yang sukar, subjek ini (pemerintahan dan integriti yang baik) menjadi lebih penting," katanya.

Jelas Mustapa, Jabatan Audit Negara harus melaksanakan tanggungjawab untuk mengaudit semua perbelanjaan oleh kementerian dan agensi.

Tambahnya, beliau mengakui bahawa terdapat kerisauan dalam kalangan rakyat ketika ini berhubung salah guna kuasa, rasuah, urus tadbir yang lemah dan pengurusan kewangan yang lemah.

"Kita mesti berhati-hati dalam perbelanjaan kita. Tidak boleh ada toleransi untuk penyalahgunaan kuasa dan pemerintahan yang lemah," ujarnya.