MALAYSIA

Negara Islam perlu terus kuat, bersatu menentang Israel - PM Anwar

Bernama 16/09/2025 | 11:15 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Himpunan Pendekar MADANI di Kampus Politeknik Seberang Perai hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menggesa negara-negara Islam supaya terus kuat dan memperkukuh kesatuan dalam usaha menentang kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.


Ringkasan AI
  • Anwar Ibrahim gesa negara Islam bersatu dan memperkukuh kekuatan menyeluruh termasuk aspek ekonomi, pertahanan, akhlak dan semangat untuk menentang kekejaman Israel terhadap Palestin.
  • Malaysia teguh menolak pengiktirafan dan hubungan diplomatik dengan Israel, sambil mendesak tindakan tegas terhadap rejim Zionis serta mengecam serangan udara ke atas Doha dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
  • Anwar turut menuntut laluan selamat untuk Konvoi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza, sebagai sebahagian usaha kemanusiaan global.


Anwar yang pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar pagi tadi, berkata perkara tersebut turut disuarakan ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang berkenaan.

Beliau menegaskan hanya dengan kekuatan menyeluruh itu, umat Islam dapat berdiri teguh menghadapi cabaran global dan mempertahankan maruah rakyat Palestin yang ditindas.

"Saya baru sahaja pulang daripada menghadiri sidang tergempar bersama pemimpin negara-negara Islam dan Arab di Doha, Qatar yang membincangkan mengenai keganasan, kezaliman, kebiadaban Zionis Israel yang terus membunuh, memusnahkan harta benda di Gaza dan tanah air Palestin.

"Saya mewakili Malaysia, memberikan pandangan tegas bahawa dunia Islam mesti kuat. Kuat dari (aspek) rumah tangga, kuat dari (aspek dalaman) negara kita, kuat ekonomi, kuat semangat, kuat roh Islam, kuat akhlak dan kuat pertahanan negara masing-masing...kita membina kekuatan," katanya ketika berucap pada Himpunan Pendekar MADANI di Politeknik Seberang Perai di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersama lebih 10,000 pesilat dari seluruh negara.

Anwar dalam pada itu turut menegaskan pendirian Malaysia tidak akan mengiktiraf Israel serta menolak sebarang bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis itu.

"Saya katakan dengan jelas di hadapan raja-raja dan ketua-ketua negara Arab serta Islam bahawa kita tidak boleh mengadakan hubungan diplomatik, berdagang atau berkawan dengan negara zalim yang menindas rakyat Palestin," katanya.

Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak itu, Anwar mendesak tindakan tegas terhadap Israel, mengecam serangan udara terbaru rejim itu ke atas Doha, ibu negara Qatar, serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.

Perdana Menteri turut menuntut supaya bantuan kemanusiaan menerusi Konvoi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan menuju ke pesisir Gaza, diberikan laluan selamat untuk tiba di wilayah itu.

-- BERNAMA




#Anwar Ibrahim #negara Islam #kekejaman israel #Gaza #Palestin #Pendekar MADANI #terkini