MALAYSIA

'Negara mana sebut soal Gaza depan Trump?' - PM 'menyampah' sikap segelintir pembangkang

Khalis Khadir 04/11/2025 | 09:13 MYT
Anwar menjelaskan, beliau membangkitkan penyelesaian komprehensif mengenai soal Gaza sebanyak tiga kali secara terbuka kepada Trump. - Foto PMO
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir pembangkang kerana didakwa banyak memperlekeh dan mempertikaikan usaha kerajaan, walaupun dalam isu mengangkat nilai kemanusiaan.

Beliau memberi contoh, usaha Malaysia menyuarakan soal kedaulatan Gaza secara berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menerima kritikan, sedangkan ia adalah sesuatu yang jarang dilakukan negara lain.

“Lihat dalam kunjungan Trump di negara lain... negara mana yang sebut depan Trump soal Gaza? Saya sebut, kerana saya mewakili Malaysia.

"Saya tidak minta penghargaan... tapi maki hamun atas nama agama, saya menyampah betul Tan Sri Speaker. Dia tak peduli fakta, asalkan dia dari parti lain maka terus kecam, kemudian mendewakan orang yang batalkan peruntukan agama yang jelas sekular, menentang syariat Islam, itu yang dipuja.

“(Kekecohan berlaku) Biarlah saya jawab dulu, tak sabar langsung. (Ahli Parlimen) Hulu Terengganu ini memang susah sikit nak kawal, memang patut terasa.

"Sekarang saya mahu tanya... boleh nafi ke tidak, sepanjang Trump lawat beberapa negara, berapa negara yang sebut - kita perlu solusi komprehensif depan muka Trump? Kalau yang cakap belakang memang banyaklah, ini cakap berdepan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar menjelaskan, beliau membangkitkan penyelesaian komprehensif mengenai soal Gaza sebanyak tiga kali secara terbuka dan ia tidak termasuk ketika berbicara secara peribadi semasa bersama Trump dalam kenderaan ‘The Beast’.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan akhir bulan lalu, Perdana Menteri menegaskan, beliau sudah menyampaikan secara terus kepada Trump mengenai gesaan yang menuntut kepada penyelesaian komprehensif dalam usaha memerdekakan Palestin.


#Anwar Ibrahim #Donald Trump #Gaza #pembangkang