MALAYSIA
Negara menua: Malaysia capai tahap kemuncak populasi pada 2059 - DOSM

Datuk Seri Mohd Uzir membuat pembentangan mengenai Unjuran Penduduk Malaysia dari 2020 hingga 2060 sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025. - Gambar Astro AWANI/ Shahir Omar
PUTRAJAYA: Unjuran Penduduk Malaysia dari 2020 hingga 2060 meramalkan negara bakal mencapai kemuncak populasi dengan jumlah 42.38 juta orang pada tahun 2059.
Ringkasan AI
- Malaysia dijangka mencapai kemuncak populasi sebanyak 42.08 juta orang pada tahun 2059, namun kadar pertumbuhan penduduk akan menurun secara ketara daripada 1.7 peratus pada 2020 kepada hanya 0.1 peratus menjelang 2060.
- Kawasan bandar dijangka mencapai kemuncak penduduk lebih awal berbanding luar bandar disebabkan gaya hidup sibuk, perkahwinan lewat, dan kadar kelahiran rendah; sembilan negeri termasuk Kuala Lumpur dan Selangor dijangka mencapai kemuncak sebelum peringkat nasional.
- Malaysia dijangka menjadi negara menua pada 2036 apabila 15 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas, dan persediaan infrastruktur mesra warga emas perlu dimulakan segera untuk menjamin kualiti hidup rakyat.
“Jika kita lihat trend, kawasan urban lebih cepat mencapai kemuncak penduduk, ini kerana kehidupannya memakan masa dan sibuk, ia menjejaskan kadar kesuburan serta kelahiran.
“Demikian dapat dilihat keadaan di bandar perkahwinannya lewat, saiz rumah kecil dan keinginan berkeluarga lebih rendah.
“Berbanding di kampung di mana pelbagai benda boleh dilakukan dengan tenang, sebab itu perkahwinan selalunya awal dan keluarga lebih besar,” ujar Mohd Uzir ketika ditemui media selepas melancarkan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025, di sini pada Jumaat.
Sembilan negeri dijangka mencapai kemuncak penduduk lebih awal sebelum peringkat nasional iaitu Kuala Lumpur pada 2031, Pulau Pinang (2040), Labuan (2041), Selangor (2049), Johor dan Kedah (2052), Negeri Sembilan (2054) serta Perlis dan Sarawak (2055).
Jelasnya, kemuncak penduduk menjadi isyarat kepada negara menua yang merupakan satu prospek muram.
Label negara menua boleh diberikan apabila jumlah populasi berumur 60 tahun ke atas mencecah 15 peratus. Malaysia dijangka mencapai tahap ini pada tahun 2036.
“Persediaan perlu dimulakan daripada sekarang untuk memastikan infrastruktur negara kita nanti mesra warga emas.
“Misalnya perbanyakkan kerusi untuk orang tua di dalam bas, tidaklah nanti kualiti hidup rakyat terjejas.
“Namun saya boleh katakan pendapatan isi rumah bukan punca utama yang mengakibatkan kadar kelahiran rendah, kerana ada je berpendapatan stabil tetapi memilih untuk tidak mempunyai anak, pelbagai faktor perlu diambil kira,” kata Mohd Uzir.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami