KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa negara-negara Islam di Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menolak untuk menerima pelarian Palestin.

Menurut beliau, terdapat cadangan agar negara jiran seperti Jordan dan Mesir untuk mengambil pelarian Palestin yang tidak dipersetujui oleh semua negara OIC.

"... kerana ini hanya memberikan ruang kepada Israel untuk terus menceroboh dan menakluki Gaza.

"... yang dilakukan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), adalah mengambil rakyat Palestin yang sakit dan parah terutama bayi dan kanak-kanak untuk rawatan di Abu Dhabi dan Dubai," katanya dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Awnar menjawab soalan asal daripada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta kerajaan menyatakan hasil mesyuarat Persidangan Kemuncak Tergempar OIC di Arab Saudi mengenai jenayah dan pembasmian kaum (genocide) yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Memperincikan lanjut, Anwar berkata, Putrajaya juga menyambut baik langkah Inisiatif Keamanan Arab untuk mengambil rakyat Palestin yang cedera teruk akibat pengeboman di Gaza.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, OIC turut mengambil keputusan bahawa 10 negara Islam utama untuk memikirkan strategi dan memasukkan Menteri Luar dalam keputusan itu untuk bertindak.

"Kita telah mengusulkan Indonesia sebagai negara yang juga terkesan dalam serangan keatas Palestin dan terakhir serangan ke atas hospital Indonesia dan kita turut mengeluarkan kenyataan membantah.

"Hal ini tidak memberikan kesan kerana kedegilan dan keangkuhan yang didokong oleh beberapa negara barat," katanya lagi.