MALAYSIA
Negara rugi cukai eksport hampir RM1 bilion, SPRM gempur sindiket seludup besi buruk

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melakukan serbuan ke atas tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta susulan sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri.
Perkara itu terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi khas Op Metal pada Isnin susulan sindiket ini dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa.
Serbuan dijalankan secara serentak oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF).
Ia membabitkan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) di 19 lokasi sekitar Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.
Serbuan dijalankan secara serentak oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF).
Wartawan Astro AWANI secara eksklusif turut menyertai operasi ini yang melibatkan anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) SPRM dengan menyerbu enam lokasi di Pulau Pinang pada Isnin.
Ia bermula dengan serbuan pertama di sebuah rumah mewah tiga tingkat di Batu Maung, di sini, seawal jam 5.50 pagi, dipercayai kediaman pemilik syarikat besi buruk bergelar Datuk.
Bagaimanapun, pasukan dimaklumkan lelaki itu berada di luar negara atas urusan perniagaan sejak dua hari lalu dan mendapati hanya isteri, anak dan seorang wanita warga emas dipercayai ibunya berada di rumah berkenaan.
Pasukan menggeledah bagi mencari bahan bukti dan dokumen berkaitan aktiviti penyeludupan manakala anggota ACTS membuat pemantuan di sekitar kawasan kediaman bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Astro AWANI kemudian dibawa menyertai serbuan ke atas tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam jam 9 pagi sebaik sahaja premis tersebut dibuka.
Anggota ACTS membuat pemeriksaan di keseluruhan premis yang dikelilingi zink dan menempatkan besi buruk dalam pelbagai bentuk, saiz dan jenis dipercayai untuk diproses sebelum dieksport ke luar negara.
Hampir 30 pekerja termasuk yang bertugas di pejabat dikumpulkan sebelum pasukan operasi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Kira-kira 15 minit kemudian, seorang lelaki yang mengaku sebagai pengurus premis itu tiba dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya selain difahamkan beberapa dokumen turut dirampas.
"Siasatan awal mendapati, sindiket ini telah menyeludup keluar besi-besi ini untuk dieksport ke India, China dan beberapa negara lain namun diikrarkan sebagai barangan jentera serta logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana dasar ditetapkan kerajaan.
"Bagi memastikan besi-besi ini dapat melepasi pemeriksaan dan mengelak dikenakan cukai, sindiket ini dipercayai telah merasuah beberapa pegawai-pegawai penguat kuasa,“ kata sumber kepada Astro AWANI.
Katanya, tindakan pengawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket ini menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM160 juta sejak enam tahun lalu atau keseluruhannya dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Ketika dihubungi mengesahkan mengenai serbuan dijalankan di lima negeri berkenaan melibatkan pengilang dan syarikat yang mengeksport besi ke luar negara.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Katanya, siasatan turut memberi fokus bagi mengenal pasti individu-individu terlibat termasuk penjawat awam yang melindungi kegiatan ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami