Negeri atau wilayah tidak jejas status Sabah, Sarawak dalam Malaysia

Shafik Ahmad
Januari 20, 2023 06:17 MYT
Jelas Anwar, proses untuk memuktamadkan penggunaan istilah yang kekal bagi Sabah dan Sarawak akan ditentukan menerusi peruntukan undang-undang dan perlembagaan. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Pewartaan istilah wilayah bagi Sabah dan Sarawak akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan pandangan sewajarnya sebelum ia dikemukakan kepada jemaah menteri dan kabinet.
Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia berdasarkan prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa pembentukan Malaysia melibatkan tiga entiti utama, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Apa dia prinsip MA63 yang termeterai semasa penubuhan Malaysia antara Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, itulah istilah teknikal kedudukan negeri dan wilayah.
“Ini kerana Semenanjung itu terdiri daripada negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, dan ini sudah tentu saya akan kemukakan pandangan kerana melibatkan perlembagaan dan perbatasan, apakah pandangan Raja-Raja Melayu begitu penting sebelum dikemukakan untuk jemaah menteri dan kabinet,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Jumaat.
Biarpun istilah itu belum diubah, kata Anwar status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dalam MA63 adalah jelas sebagai satu entiti yang berasingan.
“Walaupun nama itu belum diubah tetapi status itu harus jelas bahawa status dalam perjanjian yang dipersetujui adalah Semenanjung Tanah Melayu satu entiti, Sabah satu entiti dan Sarawak satu entiti.
“Sebab itu umpamanya kita (di peringkat) Persekutuan kita memerlukan nama Premier untuk membezakan ketua menteri atau menteri besar,” jelasnya.
Tambah Anwar proses untuk memuktamadkan penggunaan istilah yang kekal akan ditentukan menerusi peruntukan undang-undang dan perlembagaan.
“Dari segi pelaksanaan itu jelas bahawa ia adalah tiga entiti sama ada disebut negeri atau wilayah tidak mengubah sikap kerajaan dan pendirian kita bahawa entitinya Semenanjung, Sabah dan Sarawak, bukan negeri-negeri.
“Tetapi pindaan mana-mana ini istilah harus dirujuk kepada Raja-Raja Melayu kerana ia masalah perlembagaan dan kemudian parlimen, proses itu boleh berjalan kerana saya tidak mahu meriuhkan itu kerana ia tidak menjejaskan status negeri dalam konteks perlembagaan negara yang sudah dipinda dan soal MA63,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim #Perjanjian Malaysia 1963 #Sarawak #Sabah