SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menjangka jumlah pelaburan yang dicapai melebihi RM9 bilion pada tahun ini iaitu rekod tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah pentadbiran negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, momentum itu dilihat bermula kukuh dengan jumlah pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan sejumlah RM1.48 bilion sehingga suku kedua tahun ini.

"Selain itu, permohonan pelaburan sebanyak RM6.44 bilion lagi dikemukakan kepada MIDA dan sedang menunggu kelulusan rasmi termasuk pelaburan berjumlah RM6 bilion daripada Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd bagi membina sebuah kilang membuat sel bateri kenderaan elektrik (EV) Fasa Kedua di Kawasan Perindustrian Tuanku Ja'afar, Senawang.

"Sekiranya ia berjalan seperti yang dirancang, kerajaan negeri amat yakin sekali lagi untuk mencatat sejarah yang amat luar biasa apabila jumlah pelaburan yang bakal diumumkan secara rasmi (oleh MIDA) nanti akan melebihi RM9 bilion," katanya dalam catatan di laman Facebooknya di sini.

Aminuddin berkata, pada tahun lepas, kerajaan negeri berjaya memacu pelaburan yang membanggakan meskipun menghadapi kekangan berikutan pandemik COVID-19 apabila mencatat pelaburan bernilai RM5.76 bilion melepasi sasaran RM5 bilion yang ditetapkan.

Untuk rekod, pada 2020, Negeri Sembilan meraih pelaburan berjumlah RM7.93 bilion termasuk meliputi sektor pembuatan utama, hartanah, kewangan dan perkhidmatan perdagangan pengedaran berbanding RM6.77 bilion pada 2019. - BERNAMA