PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan kutipan fi konservasi bagi kemasukan ke Taman Eko Rimba di negeri itu secara berfasa mulai 1 Sept ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Suhaimizan Bizar berkata kadar bayaran RM3 bagi warganegara dan RM6 bagi bukan warganegara manakala kanak-kanak, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) diberi pengecualian bayaran adalah keputusan yang diluluskan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu.
Beliau berkata bagi fasa pertama ini, ia melibatkan dua kawasan iaitu Taman Eko Rimba Ulu Bendul dan Taman Eko Rimba Lenggeng, diikuti fasa kedua pada Oktober dan fasa ketiga pada November.
“Negeri Sembilan mempunyai 10 Taman Eko Rimba dan 14 kawasan pendakian, untuk aktiviti mendaki gunung bayaran masih kekal RM5.
“Sebelum ini memang tiada fi konservasi bagi aktiviti rehat dan rekreasi di Taman Eko Rimba. Jadi, bagi memastikan kawasan ini terus terjaga, kerajaan negeri meluluskan kutipan fi konservasi itu,” katanya pada program penanaman 1,008 pokok di Hutan Simpan Sungai Menyala di sini hari ini.
Suhaimizan berkata pelaksanaan kutipan itu dibuat secara berfasa bagi membolehkan kerajaan negeri menilai maklum balas orang ramai sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
Beliau berkata kutipan itu bertujuan memastikan kawasan Taman Eko Rimba terus dipelihara dan diselenggara dengan baik, selain memberi kemudahan kepada pengunjung yang menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan.
Menurut Suhaimizan, bagi memudahkan urusan pengunjung, tiga medium pembayaran disediakan iaitu secara dalam talian melalui aplikasi N9Pay, pembayaran kad debit atau bayaran tunai di pintu masuk.
-- BERNAMA