[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Negeri Sembilan rekod kutipan hasil RM250.66 juta setakat ini - Aminuddin

Bernama 22/05/2025 | 06:30 MYT
Aminuddin (foto) berkata jumlah itu ialah 42.48 peratus daripada sasaran RM590 juta tahun ini dan lebih tinggi yang dicatatkan berbanding tempoh sama pada tahun lepas. -Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Negeri Sembilan merekodkan kutipan hasil negeri sebanyak RM250.66 juta bagi tempoh Januari hingga semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ringkasan AI
  • Negeri Sembilan merekodkan kutipan hasil sebanyak RM250.66 juta setakat Mei 2025, iaitu 42.48% daripada sasaran tahunan RM590 juta, dan mencatat pelaburan RM7.25 bilion pada tahun lepas dengan lebih 4,600 peluang pekerjaan diwujudkan.
  • Menteri Besar melancarkan logo rasmi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026) yang menampilkan pelancongan pantai, ekopelancongan, dan warisan Adat Perpatih sebagai tarikan utama.
  • Pelbagai inisiatif promosi dan kerjasama antarabangsa akan digerakkan untuk mencapai sasaran 20 juta pelancong, dengan penjawat awam digalakkan menjadi duta pelancongan dan meningkatkan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata jumlah itu ialah 42.48 peratus daripada sasaran RM590 juta tahun ini dan lebih tinggi yang dicatatkan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
"Negeri Sembilan juga mencatatkan nilai pelaburan berjumlah RM7.25 bilion pada tahun lepas, selain mewujudkan lebih 4,600 peluang pekerjaan," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 yang disampaikan kepada 519 penerima di sini hari ini.
Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan logo rasmi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026) yang menggabungkan tiga segmen tumpuan pelancongan, iaitu pelancongan pantai, ekopelancongan, dan keindahan warisan Adat Perpatih.
Aminuddin berkata logo TMNS2026 itu membawa pelancong meneroka keindahan di negeri ini, termasuk pantai peranginan Port Dickson, kehijauan rimba yang menyajikan produk ekopelancongan di Ekor Banjaran Titiwangsa dan ikon seni bina Bumbung Panjang menonjolkan keunikan Adat Perpatih.
"Pemilihan produk tumpuan pelancong ini juga selari dengan logo Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang bertemakan keindahan budaya, kecantikan alam semula jadi dan daya tarikan global Malaysia kepada pelancong antarabangsa," katanya.
Beliau berkata pelbagai inisiatif strategik perlu digerakkan sekali gus merealisasikan sasaran 20 juta pelancong pada tahun ini, termasuk mempergiat promosi antarabangsa melalui pameran pelancongan, misi jualan ke luar negara dan kerjasama dengan ejen pelancongan dalam dan luar negara.
Aminuddin berkata semua penjawat awam di negeri ini juga perlu terus menjadi duta TMNS2026 selain sentiasa menambah baik dan mereformasi kaedah pelaksanaan tugas bagi meningkatkan lagi tahap penyampaian perkhidmatan jabatan kepada masyarakat.
-- BERNAMA
#Aminuddin Harun #kutipan hasil #Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 #warisan Adat Perpatih