ALOR GAJAH: Penerima rumah di bawah projek penempatan semula nelayan (PSN) dinasihatkan agar tidak menjual rumah berkenaan demi meraih keuntungan singkat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata dengan harga rumah kini yang agak mahal dan sukar mendapatkannya pada harga RM50,000, nelayan seharusnya menjaga dengan baik rumah yang diperoleh mereka menerusi projek itu.

"Kalau jual memanglah dapat keuntungan segera tetapi hendak cari rumah baharu sekarang terutama di Melaka, memang agak mahal. Rumah dengan harga RM50,000 mana nak cari. Jadi kena jagalah.

"Kalau sambung kepada anak cucu itu lebih baik tapi kalau terpaksa (jual) tengoklah keadaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan rumah nelayan di bawah projek PSN Negeri Melaka di Sungai Ilir, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) Yusoff Othman, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

PSN ialah satu daripada inisiatif kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan LKIM dengan kerjasama kerajaan negeri bagi membangunkan penempatan semula nelayan dengan prasarana asas yang selesa.

"Di Melaka sebanyak 60 unit rumah jenis berkembar (Semi-D) dibina di atas tanah berkeluasan 13.86 ekar (lima hektar) siap dan sepenuhnya pada Dis 2022 sebelum dijual pada harga RM45,000 kepada nelayan yang layak menerusi kerjasama dengan Agro Bank.

"Projek dimulakan pada 2014 itu bakal memberi manfaat kepada 60 nelayan di sekitar negeri Melaka yang telah memenuhi syarat-syarat dan mengikut perancangan mereka bakal mendudukinya menjelang Aidilfitri nanti," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata KPKM melalui LKIM akan meneruskan lebih banyak projek infrastruktur bagi memudahkan golongan nelayan menjalankan aktiviti perikanan.

"Antaranya ialah membina jeti pendaratan, pancang bot, balai nelayan, wakaf dan stor enjin. Projek ini akan melibatkan dua aspek iaitu naik taraf atau bina baharu yang seterusnya akan memberi manfaat kepada 1,240 nelayan berdaftar di Melaka di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.

"Kita harap menerusi kemudahan ini nelayan akan lebih produktif untuk turun ke laut terutama golongan bumiputera memandangkan amat kurang golongan ini yang menjadi nelayan pantai A dan nelayan laut dalam," katanya.

-- BERNAMA