CHUKAI: Beberapa nelayan di Kemasik di sini mendakwa projek benteng pemecah ombak bernilai RM7 juta yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas gagal menyelesaikan masalah muara cetek yang dihadapi mereka sejak lima tahun lepas.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Kemasik Rozali Ismail turut mempersoalkan mengapa projek yang menelan belanja yang besar itu tidak dipantau rapi dan gagal siap sepenuhnya seperti yang dirancang.

"Projek bernilai RM7 juta itu gagal menghalang muara Kemasik daripada terus cetek manakala pembinaannya tidak sempurna kerana tiada pemantauan daripada mana-mana agensi kerajaan negeri.

"Projek ini sudah empat tahun... janji tiga bulan. Sekarang sudah masuk lima tahun dah - sampai bila nak siap? Bila ada nelayan suarakan perkara ini, mereka kata nelayan yang salah," katanya kepada pemberita di Kuala Kemasik, baru-baru ini.

Seorang nelayan tempatan Mohd Pilus Awang, 58, berkata batu-batu yang digunakan sebagai benteng pemecah ombak pula sudah banyak yang telah jatuh, sekali gus menyempitkan lagi laluan keluar masuk bot di muara.

"Jika musim berombak para nelayan mengalami kesusahan untuk memasuki muara Kemasik manakala ketika air surut, kami terpaksa menarik bot masing-masing ke luar muara seperti lembu tarik barang," katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof berkata beliau mengambil maklum berhubung masalah muara yang cetek dan sempit yang dihadapi nelayan berkenaan.

"Ini merupakan masalah yang serius...Insya-Allah kami akan cuba diselesaikan, masalah muara yang sempit ini juga akan kami beri perhatian sewajarnya," katanya.

Pentadbiran negeri Terengganu diambil alih oleh Pas selepas Pilihan Raya Umum ke-14, setelah menang selesa 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya meraih 10 kerusi.

Pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini, Mohd Khairi Afiq akan mencabar penyandang dari Pas, Ir Saiful Azmi.

-- BERNAMA