MALAYSIA

Nelayan maut insiden bot bertembung di Sungai Paka

Bernama 06/08/2025 | 21:40 MYT
Mohd Rasid (gambar kecil) maut manakala dua rakannya cedera selepas dua buah bot bertembung dalam kejadian berhampiran muara Sungai Paka di Dungun, pagi Rabu. - Foto Sinar Harian
DUNGUN: Seorang nelayan maut selepas bot dinaiki bertembung dengan sebuah bot gentian kaca berhampiran Sungai Paka, di sini pagi semalam.

Mangsa Mohd Rasid Jusoh, 58, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka di sini.

Rakan mangsa Rosli Md Lazim, 54, berkata kejadian berlaku kira-kira 6 pagi apabila bot yang dipandu seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Ismail, terlanggar bot mangsa dalam keadaan laut yang gelap ketika berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal di jeti.

Rosli berkata dia menyedari bot mangsa terbalik selepas terlihat objek besar terapung kira-kira 500 meter dari jeti.

"Sebelum kejadian saya bersama Mohd Rasid dan Ismail sempat solat Subuh bersama dan bersarapan di jeti sebelum beredar ke bot masing-masing untuk melakukan rutin biasa menangkap ikan. Ismail turun dahulu (ke laut) diikuti Mohd Rasid dan saya.

"Ketika sampai di satu lokasi, saya nampak objek besar kira-kira setengah kilometer dari jeti. Selepas didekati dan disuluh dengan lampu, saya dapati Mohd Rasid sedang berpaut pada bot terbalik dalam keadaan sangat lemah," katanya ketika dihubungi semalam.

Rosli berkata dia terus membawa mangsa pulang ke jeti dan menghantarnya ke Klinik Kesihatan Paka dengan menaiki kereta, namun setibanya di sana Mohd Rasid disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.

"Ismail tidak menyangka objek yang dilanggarnya ialah bot Mohd Rasid...dia fikir hanya kayu hanyut. Jadi dia teruskan sahaja perjalanan balik ke jeti.

"Dia (Ismail) juga mengalami kecederaan di kepala dan datang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Paka. Dah jumpa di sana (klinik kesihatan) baru dapat tahu yang disangka kayu itu rupa-rupanya bot arwah Mohd Rasid," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata mayat Mohd Rasid telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNS) untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


#bot bertembung #Sungai Paka #bot gentian kaca #nelayan maut