KOTA BHARU: Nelayan pantai dan pengusaha akuakultur antara golongan yang berpotensi terkesan sekiranya fenomena El Nino menyebabkan suhu meningkat hingga 40 darjah Celsius sekali gus memerlukan persediaan awal bagi mengurangkan kesannya terhadap pengeluaran makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata fenomena itu boleh menyebabkan ikan bergerak lebih jauh ke tengah laut sekali gus menyukarkan nelayan pantai yang mempunyai keterbatasan dari segi keupayaan menangkap ikan di kawasan lebih dalam.
Beliau berkata kerajaan telah membincangkan langkah persediaan menghadapi El Nino bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
“Antaranya, peruntukan kepada nelayan pantai dipertingkat kerana apabila berlaku El Nino, suhu boleh meningkat hingga 40 darjah Celsius dan keadaan itu memberi kesan kepada nelayan pantai.
“Ikan akan bergerak ke tengah sedikit sedangkan nelayan pantai hanya boleh menangkap ikan sehingga lima batu nautika, dan mereka tidak sesuai untuk pergi lebih jauh atau menangkap ikan di kawasan lebih dalam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Parti Amanah Negara peringkat Negeri Kelantan 2026 di sini hari ini.
Mohamad berkata sektor akuakultur turut berdepan cabaran sekiranya suhu meningkat dengan ketara khususnya dari segi kos menyediakan perlindungan seperti kanvas di kolam ternakan.
Beliau berkata langkah persediaan awal penting untuk membantu golongan petani dan pengusaha sektor agromakanan mengurangkan kesan cuaca panas terhadap aktiviti masing-masing.
Mohamad berkata penyampaian maklumat kepada golongan berkenaan juga penting supaya mereka dapat mengambil langkah bersesuaian bagi menghadapi fenomena itu.
Dalam pada itu, beliau berkata keadaan jerebu turut menambah cabaran ketika negara membuat persediaan menghadapi kemungkinan kesan El Nino.
-- BERNAMA