MALAYSIA

Nelayan warga emas ditemukan lemas di Pengerang

Bernama 02/02/2026 | 15:27 MYT
Seorang nelayan warga emas ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Yard Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang, hari ini. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Seorang nelayan warga emas ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Yard Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang, di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Seorang nelayan warga emas berusia 77 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Yard Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang.
  • Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan termasuk penggunaan bot aluminium serta unit dron sebelum mangsa dijumpai oleh orang awam kira-kira 200 meter dari pesisiran pantai dan disahkan meninggal dunia.
  • Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi menyelamat tamat pada 7.55 malam.


Komander Operasi Pegawai Bomba (PB) Roger Ribut berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.51 tengah hari sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, pihak polis memaklumkan seorang nelayan tempatan berusia 77 tahun terjatuh ke dalam laut ketika sedang memasang jaring.

"Barangan peribadi dan bot milik mangsa telah ditemui dalam keadaan enjin masih hidup serta hanyut sehingga ke persisiran berhampiran sebuah kapal kuari di limbungan (yard) tersebut," katanya dalam kenyataan.

Susulan itu katanya PKO bertindak melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di sekitar limbungan menggunakan sebuah bot aluminium serta unit dron selain pencarian di kawasan persisiran pantai.

Mangsa kemudiannya ditemui orang awam pada 7.20 malam lebih kurang 200 meter dari pesisiran pantai dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 7.55 malam.

-- BERNAMA



#nelayan warga emas #ditemukan lemas #pengerang #Yard Kampung Tanjung Che Lahom Pengerang