[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
NATIONAL

Nelayan warga Kemboja maut terkena libasan tali pukat tunda

Bernama 19/04/2025 | 13:24 MYT
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan. - Gambar hiasan
IPOH: Seorang awak-awak warga Kemboja ditemukan maut selepas dipercayai terkena libasan tali papan besi pukat tunda dalam kejadian kira-kira 23 batu nautika di perairan barat Kuala Kurau semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu dilaporkan oleh majikan mangsa pada 4.15 petang.

Menurut kenyataan itu, sebuah aset Maritim Malaysia segera diatur gerak ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

"Pada masa sama, Pusat Operasi Zon menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Namun, setelah pasukan bantuan tiba di lokasi, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas KKM yang membuat pemeriksaan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut dan segera melaporkan sebarang kecemasan yang berlaku.

"Sebarang kejadian boleh dilaporkan terus kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-727 9919 atau melalui talian kecemasan 999 bagi tindakan segera," katanya.

-- BERNAMA

#nelayan maut #warga Kemboja #tali pukat tunda #Maritim Malaysia