Nenek diugut bunuh oleh cucu

Astro Awani
April 23, 2021 08:36 MYT
Suspek yang berusia 23 tahun dalam keadaan marah telah mengacukan sebilah pisau kepada mangsa selepas permintaan untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas diugut bunuh oleh cucunya dengan sebilah pisau selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Batu 16, Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, suspek yang berusia 23 tahun dalam keadaan marah telah mengacukan sebilah pisau kepada mangsa.
“Suspek telah mengugut akan menyembelih mangsa sekiranya tidak memberikannya wang. Mangsa yang berusia 75 tahun itu telah melarikan diri ke rumah jirannya bagi meminta pertolongan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Sohaimi berkata, sekitar 12.05 tengah malam, polis telah menahan suspek dan merampas sebilah pisau sepanjang 24 cm yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian.
Semakan polis juga, kata Mohd Sohami, mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod jenayah dadah.
Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 KPJ untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.
#nenek diugut bunuh #cucu #sebilah pisau #Sungai Tiram #menyembelih mangsa #wanita warga emas