Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Nenek empat cucu tamat PhD pada usia emas

Ernalisa Othman 20/11/2025 | 09:00 MYT
Rafiah merupakan antara 193 calon yang menerima ijazah PhD yang disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Dewan Agung Tuanku Canselor. - Foto UiTM
SHAH ALAM: Seorang nenek kepada empat cucu, Rafiah Kassim, 73, membuktikan usia bukan halangan apabila berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pendidikan pada Istiadat Konvokesyen ke-103 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Rafiah Kassim, 73, seorang nenek kepada empat cucu, berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang pendidikan dengan tesis mengenai pendekatan guru prasekolah Malaysia untuk memupuk kemahiran sosial kanak-kanak prasekolah.
  • Beliau menekankan pentingnya kecerdasan minda dan minat mendalami ilmu, serta mengatakan bahawa belajar tidak mengenal usia.
  • Rafiah menegaskan bahawa keikhlasan mengajar adalah lebih penting daripada keuntungan, serta menekankan kepentingan memahami masalah kanak-kanak sebelum menghukum mereka.


Beliau menyempurnakan tesis berjudul “Pendekatan guru prasekolah Malaysia bagi memupuk kemahiran sosial dalam kalangan kanak-kanak prasekolah untuk kesediaan bersekolah” dalam tempoh tiga tahun, sesuatu yang dianggapnya hasil disiplin serta keinginan terus berfikir secara aktif dalam aspek duniawi dan kerohanian.

Rafiah berkata, dorongannya untuk terus belajar timbul daripada usaha mengekalkan kecerdasan minda, selain minat mendalami ilmu yang tidak pernah hilang meskipun hasrat itu terpaksa ditangguhkan ketika muda kerana sibuk mengurus sebuah prasekolah di Bangsar selama lebih dua dekad.

"Kita tidak boleh membiarkan minda pasif. Belajar tidak mengenal usia. Saya memang berminat untuk menyambung pengajian ketika muda, namun banyak gangguan,” katanya ketika ditemui.

Pada istiadat berkenaan, beliau merupakan antara 193 calon yang menerima ijazah PhD yang disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Menurutnya lagi, pengajian di peringkat doktor falsafah dilakukan demi kepuasan peribadi untuk melengkapkan diri dengan ilmu, di samping berharap agar dapat menyumbang kembali kepada UiTM sebagai salah seorang alumni universiti berkenaan.

Mengimbas pengalaman sebagai pengendalikan prasekolah yang menempatkan murid dari pelbagai negara, Rafiah berkata, ketika jumlah murid bertambah daripada enam kepada 70 orang, beliau sentiasa percaya keuntungan bukan segalanya.

Malah keikhlasan mengajar jauh lebih utama.

“Bila mula, hanya enam murid, kita jangan terlalu fokus keuntungan. Semua orang sukakan wang, tetapi ikhlas itu lebih penting,' katanya.

Selain itu, beliau berkata, menyentuh mengenai disiplin kanak-kanak, Rafiah berpandangan, kepentingan memahami masalah mereka lebih utama berbanding mudah menghukum.

“Sebelum menghukum, kita perlu memahami dahulu sebab di sebalik kesalahan yang dilakukan. Jika kita bertindak ketika marah, kita sendiri tidak tahu sejauh mana tindakan itu. Ibu bapa juga jangan lupa mendidik anak menghormati semua orang tanpa mengira latar belakang," katanya.

Mempunyai tiga anak lelaki dan empat orang cucu, Rafiah juga pernah mengemudi beberapa tadika di Lembah Klang.

Pada majlis berkenaan, Rafiah turut ditemani anak, Najib Rahim dan adiknya Abu Bakar Kassim dan isteri.



#Warga emas graduan #Perlu memahami minda anak-anak #Ingin berbakti sebagai alumni