MALAYSIA

Nenek persoal tiga cucu 'dirampas' JKM

Sinar Harian 29/09/2025 | 00:45 MYT
Ros Mayzar menunjukkan laporan polis yang telah dibuat. Gambar kecil: Muhammad Yusry. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang wanita warga emas mempersoalkan tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang didakwa secara tiba-tiba mengambil tiga cucunya di rumahnya di Taman Desa Ixora, Senawang, minggu lalu atas alasan pengabaian.

Ros Mayzar Abdul Aziz, 70, berkata, ketiga-tiga cucunya yang berusia enam, empat dan 12 bulan berada di bawah jagaannya sejak lahir kerana ibu mereka yang berusia 37 tahun mempunyai masalah mental.

“Ibu mereka tinggal bersama saya juga, cumanya disebabkan masalah kesihatan yang dihadapinya, saya yang banyak menguruskan mereka.

“Walaupun begitu, dia tidak pernah mengabaikan anak-anak. Tetapi pada 20 September lalu, pegawai JKM tiba-tiba datang dan mengambil semua cucu saya dengan alasan cucu sulung dilihat berkeliaran,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Dia kecewa kerana pegawai JKM didakwa datang menyerbu seolah-olah mereka sekeluarga penjenayah.

Ros Mayzar mendakwa dia hanya diberikan surat mengenai pengambilan kanak-kanak itu untuk jagaan sementara selepas ketiga-tiga cucunya dimasukkan ke dalam kenderaan.

“Saya diberitahu mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk pemeriksaan kesihatan.

“Saya terpaksa akur tetapi pada Rabu lalu saya telah membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai JKM,” ujarnya.

Menurut Ros Mayzar, dia mengakui keadaan rumahnya kurang selesa dengan masalah kebersihan dan beberapa kerosakan disebabkan kekangan kewangan, terutama selepas suaminya meninggal dunia dua tahun lalu.

Hidupnya semakin sukar kerana terpaksa menjaga seorang lagi anak lelaki yang juga mempunyai masalah mental.

“Saya hanya dapat bantuan bulanan RM250 daripada Baitulmal dan anak sulung yang tinggal di Kajang banyak membantu urusan kewangan.

“Tetapi untuk membaik pulih kerosakan rumah dan membersihkannya, saya tidak mampu kerana kosnya tinggi,” katanya.

Justeru, dia berharap ada pihak yang sudi membantu membaik pulih rumahnya supaya dapat kembali tinggal bersama cucu-cucunya.

Terdahulu, Ros Mayzar hadir ke rumah Ketua Cawangan UMNO Taman Desa Ixora, Shamsul Baharin Mustaffa, bagi menceritakan masalah yang dihadapi bersama Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed.

Sinar Harian turut berkesempatan meninjau keadaan rumah warga emas berkenaan dan mendapati ia memang memerlukan pembersihan segera.

Sementara itu Pengarah JKM Negeri Sembilan, Muhammad Yusry Che Da menafikan dakwaan bahawa tindakan pengambilan kanak-kanak itu tidak mengikut prosedur, sebaliknya menegaskan pihak keluarga telah diberi borang pemberitahuan mengenai pengambilan sementara untuk tujuan siasatan.

Menurut beliau, tindakan itu susulan aduan diterima pihaknya bahawa seorang kanak-kanak dijumpai berkeliaran di jalan raya tanpa pengawasan.

“Demi kepentingan kanak-kanak, pegawai JKM bersama polis telah datang ke rumah wanita itu untuk siasatan lanjut.

“Apabila sampai, didapati tiga kanak-kanak dalam keadaan tidak terurus, malah ada antara mereka tiada sijil kelahiran. Difahamkan juga ibu mereka mempunyai masalah kesihatan dan kurang berupaya menjaga mereka,” katanya.

Beliau berkata, keputusan dibuat untuk mengambil kanak-kanak tersebut bagi menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital sebelum mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah sehingga 19 November ini.

Jelas beliau, langkah itu bagi membolehkan pihak pelindung JKM menjalankan siasatan lanjut dan kanak-kanak akan dikembalikan sekiranya keluarga didapati mampu menjaga mereka dengan baik.

“JKM hanya mengambil mereka sementara untuk tujuan siasatan demi kepentingan kanak-kanak, bukan selama-lamanya.

“Keluarga boleh datang berbincang dengan JKM dan yang pastinya anak-anak itu kini berada dalam keadaan baik di bawah jagaan sementara JKM,” katanya. - Sinar Harian









#Jabatan Kebajikan Masyarakat #cucu #warga emas #laporan polis