MALAYSIA

"Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman! Zalim!" - PM Anwar

Bernama 24/08/2025 | 23:00 MYT
Perdana Menteri Anwar menyampaikan Syarahan Umum 'Malaysiaku Bersama Gaza' sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka, pada Ahad malam. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan rejimnya yang terus melancarkan serangan ke atas Gaza sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas kewarasan.

Anwar berkata, keganasan yang menyasarkan kanak-kanak, wanita, hospital serta sekolah di wilayah berkenaan dan pelbagai bentuk kezaliman jelas menunjukkan rejim Zionis sanggup menggunakan kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang.

"Saya sudah berusia 78 tahun belum pernah melihat, baca dan dengar zaman ini bahawa ada manusia sekejam itu.

"Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman! Zalim! Mereka boleh pertahankan bahawa semua anak-anak kecil (di Gaza) semuanya adalah Hamas, anak berusia dua tahun yang berlari pun dituduh Hamas. Ini adalah penyakit," katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hadir sama Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

"Saya pernah tanya pemimpin-pemimpin negara Eropah, Amerika dan lain-lain, apakah kita berjuang untuk menerima penjajahan? Mengapa dalam soal Gaza, penjajahan diizinkan? Apakah kita boleh menerima pembunuhan anak-anak kecil dan wanita?

"Mengapa di Gaza? Kerana Arabnya, kerana Islamnya, kerana namanya Palestin? Itu soalan yang perlu mereka jawab dan jawapan mereka hanya satu iaitu Hamas. 7 Oktober (serangan Hamas terhadap Israel). Itu sahaja jawapan mereka," katanya.

Perdana Menteri menegaskan, segala yang berlaku di Gaza adalah akibat kezaliman berpuluh-puluh tahun oleh Israel yang menyaksikan tanah rakyat Palestin dirampas, rumah dimusnahkan, sekolah dirobohkan, masjid diruntuhkan malah gereja turut dihancurkan.

Katanya, perjuangan Palestin tidak dapat dipisahkan daripada sejarah imperialisme, kolonialisme dan eksploitasi yang berterusan.

"Ini bukan manusia, ini haiwan! Itu jawapan kita kepada mereka. Segala yang anda miliki diambil, tanah, air, rumah, keluarga, anak-anak semuanya dirampas. Itulah penjajahan.

"Mengapa sukar untuk memahami realiti ini? Mengapa ada yang bercakap mengenai hak asasi manusia dan demokrasi? Hak manusia apa? Demokrasi apa? Perintah dunia apa?" soal Perdana Menteri.

-- BERNAMA



#konflik Gaza #israel serang gaza #Netanyahu kurang siuman #Israel zalim #PM Anwar Ibrahim #Malaysiaku Bersama Gaza