KUALA LUMPUR:Segelintir rakyat Malaysia perlu diberi nasihat dan peringatan dalam memberikan komen-komen dalam media sosial, terutamanya ketika negara masih lagi berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, tegas Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Mengambil contoh sesetengah cercaan netizen terhadap lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia baru-baru ini, beliau berkata, tindakan itu mencemarkan imej negara dengan penggunaan perkataan yang sangat memalukan.

Mohd Roslan dalam satu kenyataan hari ini berkata, lawatan itu amat penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia, merangkumi pelbagai perkara utama termasuklah usahasama menangani pandemik COVID-19.

“Ianya bukan lawatan peribadi mahupun untuk bercuti. Ia adalah menjalankan tugas negara. Sudah tentu menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menjalankan tugas sebaiknya demi menjaga nama baik negara ini.

“Pihak Pejabat Perdana Menteri juga telah menjelaskan dengan begitu terperinci sekali mengenai SOP yang berkaitan dengan lawatan tersebut dimana ia melibatkan jumlah rombongan yang minimum, menggunakan pesawat kerajaan, ahli rombongan tidak dibenarkan ke tempat-tempat lain, melakukan swab test, kuarantin dan sebagainya yang berkait dengan pencegahan penularan wabak COVID-19,” katanya lagi.

Malangnya, tambah Mohd Roslan lagi, terdapat golongan tidak bertanggungjawab memberikan komentar yang mencemarkan imej negara dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sangat memalukan.
Komen-komen menggunakan perkataan jelek itu, tegasnya lagi, secara langsung menunjukkan tiadanya penghayatan kepada Rukunegara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Dimanakah kesopanan dan kesusilaan tersebut apabila komen-komen perkataan jelek ini digunakan?” soalnya lagi.

Selain itu Mohd Roslan turut mempertikaikan netizen yang seakan tidak menghormati Istana Negara apabila dengan beraninya ‘menyerang’ pentadbiran kerajaan melalui Facebook rasmi Istana Negara.

“Ini memberi indikasi bahawa mereka tidak menghormati kebijaksanaan YDPA (Yang di-Pertuan Agong)  dalam melantik Perdana Menteri. Perkara sebegini jika dibiarkan boleh merosakkan sistem kemasyarakatan negara kita dengan kebebasan tanpa batasan yang seakan tidak mempunyai sistem kawalan.

“Kita mahukan supaya semua lapisan masyarakat dapat menjiwai Rukunegara, kesopanan dan kesusilaan yang seharusnya menjadi teras utama rakyat negara ini,” katanya lagi.

Justeru, beliau berkata, PINTAR ingin menasihatkan para netizen supaya lebih berhemah dan menjaga setiap perkataan yang diungkapkan.

PINTAR juga, tambahnya lagi, menggesa pihak kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan-tindakan yang perlu bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai implikasi yang mereka terpaksa hadapi sekiranya tidak mengawal amarah dan emosi terutama ketika memberikan komen-komen dalam laman sosial.