Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Nexpert Academy perkasa bakat bumiputera dalam AI

Ernalisa Othman 21/11/2025 | 20:45 MYT
Sebagai rakan latihan rasmi kepada Yayasan Peneraju, Nexpert komited melahirkan tenaga kerja Bumiputera berkemahiran tinggi sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi global berasaskan AI.
KUALA LUMPUR: Nexpert Academy, institusi latihan profesional dalam bidang teknologi maklumat, melancarkan inisiatif pendidikan strategik untuk memberi akses kepada Bumiputera Malaysia mengikuti program pensijilan profesional bertaraf industri dalam Artificial Intelligence (AI), Machine Learning (ML), keselamatan siber, pembangunan perisian, dan teknologi digital termaju lain, melalui pembiayaan pendidikan di bawah Yayasan Peneraju.

Menurut Pengarahnya, Nazreen Abdul Ghani, program ini menawarkan pembiayaan penuh kepada peserta, dengan peluang menukar pembiayaan kepada biasiswa sekiranya peserta mencapai kehadiran minimum 85% dan lulus penilaian akhir.

"Inisiatif ini bertujuan memperkukuh penguasaan Bumiputera dalam sektor AI dan teknologi bernilai tinggi, selaras dengan transformasi negara ke arah ekonomi digital pintar.

"Pengumuman ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi negara AI menjelang 2030, di mana pembangunan bakat digital, khususnya dalam AI dan automasi pintar, dijangka menjadi teras utama pembangunan sosioekonomi merentasi sektor pendidikan, kesihatan, perkhidmatan awam, keselamatan, pertanian pintar, kewangan, industri pembuatan dan tenaga," katanya menerusi kenyataan media yang dikongsikan pada Jumaat.

Nazreen berkata, Nexpert Academy mengambil langkah proaktif dengan menyediakan laluan pembelajaran dan pensijilan profesional berfokuskan AI, memastikan peserta memperoleh kemahiran terkini yang relevan dengan keperluan industri tempatan dan global, serta mengurangkan ketidakpadanan kemahiran tenaga kerja.

"Program ini bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi khusus dalam AI dan teknologi masa depan dan misi kami adalah membuka peluang kepada bakat Bumiputera untuk memperoleh kemahiran AI bertaraf global yang relevan dan berimpak tinggi.

"Kolaborasi dengan Nexpert Academy ini juga selaras dengan matlamat yayasan untuk memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor AI dan teknologi bernilai tinggi, melalui tajaan latihan dan pensijilan yang menyediakan laluan kukuh ke arah pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

"Program yang ditawarkan termasuk AI & Machine Learning Bootcamp, CompTIA Network+, Certified Ethical Hacker (CEH), Network & Multi-Cloud Bootcamp, dan CompTIA Cloud+, dengan penekanan khusus kepada pembangunan, latihan dan penerapan model AI dalam konteks industri sebenar,"katanya.

Melalui kurikulum berorientasikan industri, peserta didedahkan kepada kemahiran pembangunan model AI, analisis data besar (big data), pembelajaran mesin, automasi pintar, serta keselamatan siber, seterusnya meningkatkan peluang kerjaya berpendapatan tinggi sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

"Proses permohonan melibatkan pengisian borang, penyediaan dokumen rasmi, dan pengesahan Certified True Copy (CTC). Setelah kelulusan daripada Yayasan Peneraju, peserta perlu menghadiri latihan mengikut jadual yang ditetapkan dan pembiayaan kursus dipindahkan terus kepada penyedia latihan," katanya.

Ditubuhkan pada 2010, Nexpert Academy menyediakan latihan berkualiti tinggi yang memenuhi standard industri dan menyokong agenda negara dalam pembangunan bakat AI dan digital.

Sebagai rakan latihan rasmi kepada Yayasan Peneraju, Nexpert komited melahirkan tenaga kerja Bumiputera berkemahiran tinggi sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi global berasaskan AI.




#Perkasa AI bumiputera #Generasi celik IT #Menyediakan latihan berkualiti #Nexpert komited lahirkan belia AI