MALAYSIA

Nga hadiahkan arca "Rise Up Together" kepada PM Anwar sempena ulang tahun kelahiran ke-78

Bernama 10/08/2025 | 10:30 MYT
Nga menghadiahkan arca khas kepada Perdana Menteri sempena ulang tahun ke-78, melambangkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia. - Foto FB Nga Kor Ming
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini menghadiahkan sebuah arca khas yang dinamakan "Rise Up Together" (Bangkit Bersama) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun kelahiran ke-78.


Ringkasan AI
  • Arca 'Bangkit Bersama'Hadiah Ulang Tahun PM: Menteri Nga Kor Ming menghadiahkan arca khas kepada Perdana Menteri sempena ulang tahun ke-78, melambangkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
  • Pengiktirafan Kepimpinan MADANI: Nga memuji pentadbiran Anwar yang berjaya mewujudkan kestabilan politik, memperkukuh ekonomi dan meningkatkan daya saing negara dalam tempoh dua tahun.
  • Peranan Global & Aspirasi: Perpaduan Malaysia semakin dihormati di peringkat antarabangsa, termasuk peranan PM dalam usaha damai serantau, selari dengan visi Malaysia MADANI yang inklusif dan progresif.


Nga yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) berkata arca berkenaan yang ditempah khas semasa lawatan rasmi beliau ke Nairobi, Kenya bagi menghadiri Perhimpunan Agung UN-Habitat, melambangkan perpaduan nasional dan keharmonian dalam kepelbagaian rakyat Malaysia.

"Karya seni ini melambangkan kekuatan dan perpaduan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama yang bersatu padu, selari dengan aspirasi utama Kerajaan MADANI untuk memupuk perpaduan dan memacu kemajuan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga yang juga Timbalan Pengerusi DAP berkata pentadbiran MADANI yang diterajui Anwar berjaya mewujudkan kestabilan politik sepanjang dua tahun kebelakangan ini, sekali gus mengakhiri tempoh ketidaktentuan politik yang menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun.

"Dengan ekonomi yang semakin berkembang, ringgit yang mengukuh serta peningkatan ketara dalam kedudukan daya saing global kita, Malaysia berada di landasan yang tepat. Kita perlu terus memelihara perpaduan dan keharmonian bagi memastikan keamanan dan kemajuan," katanya.

Nga berkata kedudukan Malaysia di persada antarabangsa juga semakin kukuh, termasuk peranan terbaharu Perdana Menteri sebagai orang tengah dalam usaha persetujuan gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja, yang mendapat pujian daripada pemimpin dunia.

"Menerusi Malaysia MADANI, komuniti berbilang kaum kita mampu menjadi lebih bersatu, makmur dan maju. Perdana Menteri bukan sahaja memperjuangkan prinsip keterangkuman di dalam negara, malah turut menonjolkan kepimpinan Malaysia di peringkat global.

"Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, kita akan merealisasikan visi 'Bangkit Bersama' dan memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dalam keharmonian," katanya.

-- BERNAMA



#Nga Kor Ming #hadiah arca #Anwar Ibrahim #ulang tahun kelahiran ke-78 #Rise Up Together