Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyuarakan kebimbangan mereka tentang rancangan membersihkan tanah hutan seluas 400 hektar milik persendirian berhampiran Hutan Simpan Hidupan Liar Kulamba di Lahad Datu kerana ia merupakan kawasan penting bagi Orang Utan dan hidupan liar lain.

Sejajar dengan itu, WWF-Malaysia, HUTAN dan Land Empowerment Animals People (LEAP) meminta kerajaan memastikan semua habitat Orang Utan di Sabah yang terletak di luar santuari hidupan liar dan hutan simpan dijadikan sebahagian daripada estet hutan kekal negeri.

Dalam kenyataan bersama di sini, kumpulan itu menegaskan bahawa kawasan berhampiran Bukit Kretam yang akan dibersihkan tidak lama lagi itu perlu diberi perhatian segera kerana ia adalah antara kawasan tanah kering yang masih ada di wilayah yang sebahagian besarnya dipenuhi hutan paya dan amat penting daripada segi pemuliharaan biologi.

NGO berkenaan menyokong permintaan mereka dengan memetik objektif ketiga Pelan Tindakan Negeri untuk Orang Utan yang diluluskan kerajaan Sabah yang menyebut bahawa "semua hutan yang mempunyai banyak Orang Utan dan tidak dilindungi untuk pemuliharaan, tidak boleh ditukar menjadi kawasan penanaman pokok secara industri atau sebagai ladang pertanian dan perlu diurus dengan sebaik-baiknya melalui amalan pengurusan hutan".

"WWF-Malaysia menyokong usaha memulihara dan melindungi kawasan tanah di Bukit Kretam ini kerana ia membolehkan Orang Utan dan biodiversiti lain terus membiak serta penting bagi penyambungan kawasan hutan.

"Walaupun kawasan terlibat agak kecil, namun mengekalkannya sebagai hutan akan meningkatkan kepentingan Hutan Simpan Hidupan Liar Kulamba apabila habitat tanah kering bersebelahan hutan paya seluas 20,000 hektar itu dijadikan hutan simpan di kawasan berkenaan," kata pengarah eksekutif/ketua pegawai eksekutif WWF-Malaysia Datuk Dr Dionysius Sharma.

Penyalaras bersama HUTAN Dr Marc Ancrenaz pula berkata Hutan Simpan Hidupan Liar Kulamba dan hutan bersebelahannya menjadi kawasan kediaman kira-kira 480 Orang Utan.

"Kehilangan kawasan hutan di kawasan ini pasti akan mengurangkan keluasan kawasan kediaman Orang Utan. Memandangkan musim buah di hutan paya dan tanah kering tidak berlaku serentak, maka kewujudan hutan tanah kering adalah penting bagi Orang Utan yang hidup dengan memakan buah-buahan," kata Ancrenaz, ahli veterinar hidupan liar, yang membuat penyelidikan dan pemantauan terhadap Orang Utan liar di Sabah sejak 15 tahun lepas.

Pengarah eksekutif LEAP Cynthia Ong pula berkata terdapat beberapa sebab kenapa kawasan hutan berkenaan perlu dikekalkan.

"Antaranya ialah usaha Malaysia untuk mengukuhkan reputasinya sebagai pengeluar minyak sawit yang bertanggungjawab melalui pelbagai proses telus seperti Rundingan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO).

"Adalah sesuatu yang memalukan sekiranya habitat Orang Utan yang diketahui umum ini terus dibersihkan untuk ditanam dengan kelapa sawit setelah beberapa ketetapan dibuat hasil daripada perbahasan antara NGO dan industri minyak sawit yang begitu sengit sebelum ini," katanya.

Walaupun pernah menjadi kawasan pembalakan, tumbuh-tumbuhan di sebahagian besar kawasan itu boleh serasi dengan kegiatan silvikultur dan penanaman semula, katanya.