Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) menggesa agar kerajaan negeri Pahang mengumumkan rancangan dan garis panduan khusus bagi memastikan pencemaran bauksit tidak berulang.

Ini termasuk prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan bauksit, kaedah mengangkut hasil mineral itu serta lokasi penyimpanan stok bauksit.

Pengerusi Geram, Ali Akbar Othman berkata keadaan di Kuantan khususnya di kawasan Pelabuhan Kuantan telah mula kembali pulih sejak pelaksanaan moratorium pada 15 Januari lalu.

Namun, masih timbul pelbagai persoalan tentang apa yang bakal berlaku selepas berakhir tempoh moratorium itu nanti.

"Sehingga kini kita masih belum ada apa-apa feedback dari kerajaan negeri selain moratorium seperti yang kita tuntut, apakah penambahbaikan dari segi pergerakan lori? Apakah status lombong haram yang diuar-uarkan Menteri Besar sendiri yang dikatakan di Bukit Goh 90 peratus daripadanya pelombong haram. Jadi macam mana hendak selesaikan isu tersebut?"

"Kalau kerajaan negeri hendak meneruskan perlombongan bauksit ini bagaimana pula perjalanan lori dari lokasi? Adakah seperti dimaklumkan sebelum ini akan menggunakan lori paka? Adakah Pahang wujud lori paka atau dia akan mengubahsuai lori-lori sedia ada?" katanya.

Tambahnya, Geram tidak pernah membantah bauksit namun membantah aktiviti pencemaran akibat perlombongan tidak terkawal.

Harapan mereka agar SOP yang diperkenalkan kerajaan negeri juga dapat menyakinkan rakyat serta menjamin keselamatan penduduk.

BACA: Isu bauksit: Penduduk mahu jaminan pencemaran tidak berulang

"Dari segi perlombongan bukan hanya bauksit, apa-apa sahaja sama ada pelombongan pasir atau bahan mineral yang ada di Pahang untuk dijadikan sumber pendapatan negeri, kita memang bersetuju dan kita tidak ada masalah pun. Tinggal lagi cara pelaksanaan aktiviti perlombongan macam mana? Lesen diluluskan, benda-benda macam itu. SOP itu perlu ada."

"Buat apa kita nak membantah kalau benda itu boleh menjana pendapatan untuk kerajaan negeri sendiri. Geram membantah pencemaran. Kita membantah aktiviti yang tidak ada SOP. Jadi kalau dia nak buat dengan cara yang betul, yang boleh menjana pendapatan negeri. Itu yang paling baik.. kita setuju, kita sokong," katanya lagi.

GALERI FOTO: Isu bauksit: Moratorium tidak menenangkan penduduk

Difahamkan kerajaan negeri sedang mendapatkan maklum balas daripada semua jabatan dan agensi berkaitan bagi mewujudkan satu langkah bersepadu sebagai SOP untuk aktiviti perlombongan bauksit.

Pada 6 Januari lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Wan Jaafar mengumumkan keputusan Kabinet mengenakan tempoh moratorium tiga bulan bermula 15 Januari ke atas perlombongan dan pengeksportan bauksit bagi mengawal pencemaran alam sekitar akibat aktiviti itu.

Tinjauan Astro AWANI dari luar kawasan pelabuhan Kuantan mendapati masih kelihatan lambakan bauksit yang belum diangkut keluar dari tapak simpanan.

Jumlahnya dilihat berkurangan berbanding sebelum ini.