NGO minta polis siasat Muhyiddin dedah maklumat rahsia

Bernama
Oktober 28, 2016 14:15 MYT
Datuk Azwanddin Hamzah berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) didakwa berbuat demikian ketika berceramah di Kijal, Terengganu pada 1 Oktober lepas dan semasa persidangan Dewan Rakyat Rabu lepas. - Gambar Twitter / Fail
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Presiden Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah berkata tindakan segera perlu diambil kerana Muhyiddin dipercayai telah mendedahkan rahsia kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu didakwa berbuat demikian ketika mengadakan ceramah di Pantai Kamasek, Kijal, Terengganu pada 1 Okt lepas dan semasa persidangan Dewan Rakyat di Parlimen pada Rabu lepas.
Beliau mendakwa Muhyiddin telah melanggar OSA yang berkaitan dokumen kerajaan diklasifikasikan sebagai rahsia dan tidak boleh didedahkan pihak menteri atau pegawai, kakitangan kerajaan mahupun bekas kakitangan kerajaan.
"Perbuatan beliau dipandang serius dan perlu ditangani segera kerana berbaur hasutan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini. -- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #Akta Rahsia Rasmi #Datuk Azwanddin Hamzah #laporan polis #Tan Sri Muhyiddin Yassin