TENOM: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat di Sabah diminta tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri itu.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jamawi Jaafar berkata, penglibatan golongan itu mampu membantu mengatasi masalah yang dihadapi mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Beliau yang juga bekas wakil rakyat Kemabong berkata, bekalan air bersih merupakan keperluan utama mangsa yang terjejas banjir ekoran dua loji tampisan air di Tenom dan Kemabong tidak dapat beroperasi ekoran bencana alam itu.

"Setakat ini kerajaan negeri sudah menghulurkan bantuan menerusi PKOB daerah untuk diselaraskan kepada penerima.

"Justeru, saya merayu NGO dan syarikat korporat sama-sama menghulurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa yang terlibat," katanya selepas meninjau keadaan banjir di daerah Tenom pada Jumaat.

Keadaan hujan yang melanda beberapa kawasan di Sabah menyaksikan beberapa rumah ditenggelami air.

Setakat pukul 8 malam Jumaat, 2,789 mangsa ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara iaitu 19 di Tenom manakala masing-masing dua di Beaufort dan Putatan.

Tambah Jamawi, banjir kali ini merupakan cabaran terbesar buat rakyat di Tenom dalam keadaan negara masih berdepan pandemik COVID-19.

Sehubungan dengan itu beliau meminta mereka yang terjejas agar mengutamakan aspek keselamatan dan berpindah apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.