[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

NICE 2025: TPM Fadillah tekankan R&D bagi pembangunan negara

Bernama 06/10/2025 | 10:00 MYT
Fadillah berkata usaha memperkukuh ekosistem R&D bukan sahaja penting bagi melahirkan produk yang menjadi penyelesaian kepada cabaran semasa tetapi juga mampu memberi impak langsung terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat. - Foto BERNAMA
Malaysia memiliki bakat dan idea yang mampu diterjemahkan kepada produk berimpak tinggi jika negara terus memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Ringkasan AI
  • Malaysia memiliki bakat dan idea yang boleh menghasilkan produk berimpak tinggi jika terus memberi tumpuan kepada penyelidikan, pembangunan (R\&D) dan inovasi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
  • Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2025 menyaksikan 12 perjanjian bernilai lebih RM800 juta serta pelancaran 13 produk baharu dalam bidang agroteknologi, bioteknologi dan digital.
  • Malaysia kini berada di tangga ke-33 dalam Indeks Inovasi Global 2024, dan kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem inovasi bagi mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang 2030.


Beliau berkata usaha memperkukuh ekosistem R&D bukan sahaja penting bagi melahirkan produk yang menjadi penyelesaian kepada cabaran semasa tetapi juga mampu memberi impak langsung terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Malaysia memang ada bakat, memang ada idea yang boleh diterjemahkan... kalau kita nak menjadi negara yang kompetitif, kita kena beri tumpuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

"Penyelidikan sahaja tak cukup tapi kena terjemahkan menjadi satu produk yang dapat menjadi penyelesaian serta memberi impak kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

NICE 2025 yang bertemakan Innovation. Growth. Global Impact menghimpunkan bakat, teknologi serta penyelesaian tempatan bagi dipamerkan kepada dunia, sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia dalam menjana produk berimpak tinggi.

Fadillah berkata penganjuran NICE 2025 turut menyaksikan pemeteraian 12 perjanjian dan memorandum persefahaman bernilai lebih RM800 juta serta pelancaran 13 produk baharu melibatkan agensi, universiti dan syarikat dalam bidang agroteknologi, bioteknologi dan pembangunan digital.

Beliau berkata prestasi Malaysia di pentas dunia semakin terserlah apabila kedudukan negara melonjak ke tangga ke-33 daripada 133 ekonomi global dalam Indeks Inovasi Global 2024 oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

Fadillah berkata kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem inovasi melalui dana penyelidikan, insentif, pembangunan bakat serta pengukuhan kerjasama industri-universiti bagi memastikan Malaysia mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

-- BERNAMA



#NICE 2025 #penyelidikan dan pembangunan #Fadillah Yusof #inovasi