Skip to main content

Malaysia

NICE 2026: Kerajaan, GLIC, swasta perlu perkukuh sinergi pacu inovasi - PM Anwar

FOTO SHAHIR
Anwar berkata Malaysia tidak seharusnya hanya menjadi negara yang mengeluarkan produk, sebaliknya perlu membangunkan produk berasaskan kepakaran dan keupayaan tempatan yang mampu bersaing di peringkat global. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama lebih erat antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta perlu diperkasa bagi meningkatkan keupayaan penyelidikan, inovasi serta daya cipta negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sinergi antara GLIC dan syarikat swasta penting bagi memastikan kekuatan kedua-dua pihak dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Kini sampai ke tahap kedua iaitu sinergi dengan syarikat swasta bermula dengan GLIC, syarikat milik kerajaan yang tidak boleh bekerja secara berasingan kerana kerjasama ini akan memperkuatkan upaya mereka,” katanya.

Beliau berkata, banyak syarikat swasta tempatan kini menunjukkan keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, malah dalam sesetengah keadaan mengatasi keupayaan beberapa agensi tertentu.

“Ramai syarikat swasta Malaysia yang menunjukkan keupayaan mereka dalam bidang pendidikan yang kadang-kadang mengatasi keupayaan beberapa agensi tertentu untuk memanfaatkan kekuatan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata syarikat swasta turut perlu memberi tumpuan lebih besar terhadap bidang penyelidikan dan daya cipta bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia perlu meningkatkan usaha dalam penyelidikan dan inovasi selaras dengan penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk memastikan hasil inovasi tempatan berjaya dikembangkan dan dibawa ke pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, Malaysia tidak seharusnya hanya menjadi negara yang mengeluarkan produk, sebaliknya perlu membangunkan produk berasaskan kepakaran dan keupayaan tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Kita bukannya ‘made in Malaysia’ tetapi ‘made by Malaysia’, jadi kita harus usahakan supaya hasil kita dapat dikeluarkan dengan lebih berkesan,” katanya.

Anwar berkata, jaringan kerjasama dengan negara-negara Barat dan Timur perlu diperkukuh bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara perdagangan yang berdaya saing.

Beliau turut menekankan keperluan membangunkan industri berteknologi tinggi yang bukan sahaja mampu menghasilkan produk, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk mengeksportnya ke pasaran antarabangsa.

“Negara Malaysia kekal sebagai negara dagang yang tertumpu dalam bidang industri, termasuk agar tumbuh dalam bidang industri berteknologi tinggi tetapi mampu bukan sekadar menghasilkan tetapi mampu eksport,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) pada Khamis.

 

 

Must Watch Video

Advertisement