Skip to main content

Malaysia

NICE 2026: PM Anwar gesa kurangkan birokrasi, beban dana penyelidikan

Sumber: Astro AWANI
Anwar ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE 2026) di ibu negara, pada Khamis. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengurangkan kerenah birokrasi dan beban berkaitan dana penyelidikan bagi memastikan usaha inovasi serta komersialisasi negara dapat bergerak lebih pantas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan birokrasi lama tidak lagi sesuai dalam usaha meneroka bidang baharu, khususnya di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Saya katakan ini terutamanya dalam dunia inovasi dan komersialisasi, mana boleh kita ikut birokrasi lama, tak mungkin,” katanya.

Beliau berkata, MOSTI sebagai kementerian yang bertanggungjawab meneroka hala tuju serta kaedah baharu perlu lebih berani keluar daripada pendekatan lama.

“MOSTI ini satu kementerian yang penting dari sudut hala tuju baharu, dari sudut pemikiran dan meneroka alam pemikiran dan kaedah baharu. Dia tak boleh meneroka kalau dia ikut macam nak tebas hutan belantara zaman lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa warga MOSTI supaya terus memperbaiki pencapaian sedia ada, selain mengurangkan beban yang boleh menghalang penyelidik daripada menghasilkan inovasi.

“Alhamdulillah, tetapi berusaha lagi dan ini kenapa mengurangkan beban dari sudut dana penyelidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memuji usaha MOSTI dan kementerian berkaitan dalam memperluas manfaat inovasi kepada masyarakat melalui penglibatan sektor swasta.

Menurut beliau, lebih 8,000 pendaftar telah menyertai usaha berkenaan, termasuk inisiatif melibatkan sekolah angkat.

“Saya nak katakan ini yang kelainan dalam negara MADANI, bila betul-betul ada syarikat berjaya kita minta dipilih sekolah angkat untuk terus membantu dan ada rundingan perbincangan dengan pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan sama boleh diperluas dengan penglibatan bank dan syarikat terkemuka yang beroperasi berhampiran sekolah atau kawasan tertentu bagi membantu pembangunan masyarakat setempat.

Anwar turut mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan membabitkan sektor kerajaan, swasta, saintis serta pegawai kanan kerajaan untuk turun ke kawasan luar bandar dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Dalam negara ini, 10 ribu usaha seperti itu daripada pengurusan kerajaan dan swasta, daripada kalangan sains, daripada Ketua Pengarah dan KSU turun ke kampung dan cuba membangunkan dalam beberapa rangka kerangka pembangunan MADANI,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE 2026) di ibu negara, pada Khamis.  

 

 

Must Watch Video

Advertisement