MALAYSIA

Nick Adams: Penyokong rejim Zionis jangan dibiar berpijak di bumi Malaysia - AMK HTJ

Astro Awani 18/07/2025 | 12:45 MYT
Muhammad Hafiz Rayyan berkata kemerdekaan Palestin bukan atas dasar emosi semata-mata, namun merupakan prinsip benar dan adil. - Gambar Hafiz Rayyan
KUALA LUMPUR: Kenyataan kontroversi Nick Adams 'Jika anda tidak bersama Israel, anda bersama keganasan' menjadi bantahan rakyat Malaysia terhadap lantikannya sebagai Duta Amerika Syarikat ke negara ini.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Hang Tuah Jaya (AMK HTJ), Muhammad Hafiz Rayyan menegaskan, kebolehan Nick Adams menjadi seorang diplomat dengan kenyataan dangkal sedemikian perlu dipersoalkan.

"Nick Adams kerap membuat kenyataan bersifat Islamofobia dan menyokong Zionisme.

"Terkandung unsur kebencian mendalam, prejudis keterlaluan dan naratif Islamofobia yang berbahaya kepada keamanan dunia.

"Sejak sekian lama Malaysia berdiri teguh bersama umat Palestin. Kita menolak penjajahan. Kita tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah entiti sah," ujar Hafiz dalam satu kenyataan pada Jumaat.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Tambahnya, kemerdekaan Palestin bukan atas dasar emosi semata-mata, namun merupakan prinsip benar dan adil.

"Bagaimana seorang yang secara terbuka menyokong pendudukan haram Israel, serta menyamakan perjuangan Palestin dengan keganasan, boleh diberi laluan untuk berpijak di bumi diplomatik Malaysia?

"Malaysia dan mana-mana negara lain berhak untuk menolak mana-mana calon duta sebelum diterima secara rasmi. Tolak Nick Adams," tegasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berpandangan, isu pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia perlu melalui penelitian dan pertimbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Tegas beliau, perkara itu akan ditangani dengan sewajarnya, selain pada waktu sama memelihara hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.



#Nick Adams #duta ke Malaysia #rejim Zionis #Palestin