KUALA LUMPUR: Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui beliau antara individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Petaling Jaya, namun menegaskan tiada sebarang perbuatan sumbang berlaku ketika kejadian itu.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut mengakui kesilapan pertimbangannya ketika kejadian berkenaan dan memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan.
Menurut Nik Nazmi, kejadian itu berlaku selepas beliau bersama beberapa rakannya mengadakan perbincangan berkaitan projek di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek berkenaan.
"Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan.
"Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka," katanya menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya hari ini.
Nik Nazmi turut menyatakan akan memberi jaminan dan kerjasama dalam sebarang proses perundangan.
"Saya juga memohon maaf kepada parti BERSAMA kerana mengecewakan ahli-ahli dan penyokong BERSAMA, memandangkan isu ini menjejaskan parti dan akan menerima apa jua keputusan parti," katanya.
Beliau pada masa sama berharap semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbincangan mengenai kes berkenaan menerusi media.
Terdahulu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad pada Jumaat mengesahkan penahanan dua individu termasuk seorang figura awam di sekitar daerah Petaling kira-kira jam 6 petang Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.