Skip to main content

Malaysia

Nik Nazmi bukan mangsa perangkap JAIS – MAIS

Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • MAIS menafikan dakwaan JAIS memerangkap Nik Nazmi Nik Ahmad dalam siasatan kes khalwat di Petaling Jaya.
  • JAIS menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima dan mengikut peruntukan undang-undang tanpa mengira latar belakang individu.
  • Kedua-dua individu yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka direkodkan oleh pihak berkuasa.

SHAH ALAM: Dakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memerangkap bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kes khalwat adalah tidak benar.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, JAIS menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima dan mengikut peruntukan undang-undang, bukannya memanipulasi keadaan untuk mengenakan individu tertentu.

Menurutnya, setiap aduan perlu disiasat secara menyeluruh tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terbabit.

"Bila dikatakan seolah-olah jabatan agama terlibat dalam manipulasi dan sebagainya, ini tidak benar sama sekali.

"Kami juga ada tanggungjawab mengikut undang-undang apabila aduan dibuat, kami perlu melakukan siasatan secara menyeluruh," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Salehuddin memberitahu, orang ramai perlu memberi ruang kepada JAIS melengkapkan siasatan sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung kes berkenaan.

Beliau menjelaskan, tindakan pendakwaan hanya akan dipertimbangkan sekiranya siasatan menemukan keterangan yang jelas dan mencukupi.

"Percayalah JAIS akan melakukan sebaik mungkin siasatan dan kalau ada keterangan jelas, akan buat pertuduhan di mahkamah,” ujar beliau.

Salehuddin berkata, tindakan memaklumkan penahanan itu kepada masyarakat bertujuan menjelaskan pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima.

Menurutnya, tindakan mengikut prosedur undang-undang penting bagi mengelakkan timbulnya dakwaan bahawa penguatkuasaan dilakukan secara sewenang-wenangnya.

"Kita mengambil tindakan berdasarkan undang-undang dan sekiranya dilakukan tanpa peraturan dan sebagainya, kita juga akan ditohmah," ujar beliau.

Mengulas status dua individu yang ditahan dalam kes itu, beliau berkata, kedua-duanya dibebaskan selepas keterangan direkodkan dan dilepaskan dengan jaminan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Nik Nazmi mengesahkan dirinya merupakan seorang daripada dua individu yang ditahan JAIS dalam insiden di Petaling Jaya pada Khamis.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu menjelaskan, beliau bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan. -- Sinar Harian
 

Must Watch Video

Advertisement