MALAYSIA
Nilai integriti, patriotisme jadi teras lawatan dan libat urus Raja Muda Perlis ke Rwanda

Sesi lawatan dan libat urus Tuanku Syed Faizuddin bersama tiga agensi strategik kerajaan Rwanda di Kigali, ibu negara republik itu bersempena program Safar Ilmi MAIPs 2025. - Gambar ihsan MAIPs
KIGALI, RWANDA: Nilai integriti dan semangat patriotik terbukti menjadi pemangkin utama kepada kemajuan sesebuah negara ke arah status maju dan berdaya saing di peringkat global.
Prinsip itu menjadi tumpuan utama dalam sesi lawatan dan libat urus Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama tiga agensi strategik kerajaan Rwanda di Kigali, ibu negara republik itu, sempena program Safar Ilmi MAIPs 2025.
Keberangkatan baginda turut diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut menyertai rombongan itu ialah Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.Lawatan itu melibatkan tiga agensi penting Rwanda – Rwanda Governance Board (RGB), Rwanda Development Board (RDB) dan Rwanda TVET Board (RTB) – yang masing-masing memainkan peranan besar dalam membentuk hala tuju pembangunan nasional pasca tragedi genosid 1994.
Menurut kenyataan MAIPs, pertemuan tersebut membuka ruang perkongsian nilai dan amalan terbaik dalam tadbir urus, pelaburan, pembangunan ekonomi serta pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) yang berteraskan integriti, akauntabiliti dan patriotisme.
RGB sebagai badan pemantau tadbir urus negara, dikenali menerusi Rwanda Governance Scorecard yang mengukur kebertanggungjawaban, ketelusan dan penglibatan rakyat dalam proses pembangunan.
RDB pula berperanan sebagai pusat sehenti pelaburan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi, menggabungkan sektor seperti ICT, pelancongan dan pembangunan sektor swasta – model yang banyak mengambil inspirasi daripada MIDA Malaysia dan EDB Singapura.
Manakala RTB membuktikan kejayaan dalam membangunkan tenaga kerja mahir di kalangan belia, sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan daya saing ekonomi negara itu.
Lawatan tersebut turut memberi peluang untuk menjalin kerjasama masa depan, terutamanya dalam bidang latihan kemahiran dan pembangunan kapasiti institusi seperti Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), selari dengan aspirasi negeri Perlis membentuk masyarakat berdaya tahan melalui pendekatan nilai dan kemahiran.
Menurut Mohd Nazim, Rwanda menjadi contoh unggul sebuah negara yang bangkit daripada sejarah kelam dengan berpaksikan jati diri, kepimpinan berintegriti dan semangat patriotisme yang utuh.
“Nilai integriti dan semangat cintakan tanah air bukan sekadar pelengkap pentadbiran, tetapi asas kepada terbentuknya sebuah negara gemilang,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami