Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Nilai karya sastera Hafez pedoman interaksi kebudayaan dua negara - ICCM

Arzani turut memetik beberapa bait puisi Hafez yang menekankan nilai persahabatan, toleransi dan pengabdian kepada Allah SWT.
Arzani turut memetik beberapa bait puisi Hafez yang menekankan nilai persahabatan, toleransi dan pengabdian kepada Allah SWT.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pertukaran budaya antara Iran dan Malaysia, khususnya dalam kesusasteraan, dapat memperkukuh persefahaman dan keterbukaan antara kedua-dua negara.
  • Penasihat Kebudayaan Iran di Malaysia mencadangkan pelbagai program seperti forum, dialog dan penterjemahan karya sastera untuk melibatkan masyarakat, terutama golongan belia.
  • Karya Hafez Shirazi menekankan nilai persahabatan, toleransi dan penghormatan, yang terus memberi inspirasi kepada masyarakat pelbagai budaya dan zaman.

KUALA LUMPUR: Pertukaran budaya antara Iran dan Malaysia, termasuk dalam bidang kesusasteraan dapat memberi manfaat dua hala untuk saling mengenali lebih lanjut dengan sikap yang lebih terbuka.

Penasihat Kebudayaan Republik Islam Iran di Malaysia (ICCM), Habibreza Arzani berkata pelbagai kaedah dapat dilaksanakan agar masyarakat khususnya golongan belia dapat terlibat dalam proses ini.

Beliau mengambil contoh penganjuran program di institusi pendidikan yang boleh dilaksanakan selerti forum, dialog antara seniman dan penterjemahan karya sastera.

“Kedua-dua negara memiliki sejarah, bahasa, tradisi kesenian dan pengalaman sosial yang tersendiri, dengan pelbagai khazanah yang boleh dikongsi serta dipelajari bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media sempena sambutan Hari Hafez pada 12 Oktober ini, bagi memperingati penyair tersohor Iran itu.

Arzani turut memetik beberapa bait puisi Hafez yang menekankan nilai persahabatan, toleransi dan pengabdian kepada Allah SWT.

Antaranya, “Tanamlah pohon persahabatan, nescaya ia membuahkan kepuasan hati; cabutlah tunas permusuhan, kerana ia membawa penderitaan yang tiada penghujung.”

Menurut Arzani, Hafez Shirazi berjaya menunjukkan toleransi bukanlah lambang kelemahan. 

Sebaliknya, ia merupakan nilai moral yang luhur serta pendekatan untuk memelihara maruah dan martabat manusia.

“Dalam hubungan sesama manusia mahupun antara negara, persefahaman bersama, dialog dan rasa hormat merupakan benih yang mampu berkembang menjadi kepercayaan serta kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu Arzani berpandangan perbezaan bahasa, budaya dan pandangan adalah sebahagian daripada realiti masyarakat.

Namun menurutnya, apabila perkara tersebut ditangani dengan rasa hormat maka, ia mampu membuka ruang untuk memperkayakan hubungan sesama manusia seperti yang disyorkan oleh karya Hafez. 

“Apabila kita berbicara secara adil, mendengar pandangan yang berbeza dan memelihara martabat antara satu sama lain, kita sebenarnya sedang membina jambatan yang menghubungkan hati manusia,” katanya lagi. 

Hafez dipercayai dilahirkan sekitar tahun 1315 di Shiraz, Iran telah berjaya meninggalkan pengaruh besar dalam dunia kesusasteraan sehingga mengilhamkan beberapa tokoh Barat.

Antaranya seperti penyair Jerman, Johann Wolfgang von Goethe, ahli falsafah Friedrich Nietzsche serta penyair Amerika Syarikat, Ralph Waldo Emerson. 

Karya puisinya yang sarat dengan unsur kerohanian, cinta dan falsafah kehidupan terus dikaji serta dihargai merentasi zaman.

 

 

Must Watch Video

Advertisement