Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan penilaian risiko dibuat ke atas program-program bantuan kewangan kerajaan bagi mengelakkan elemen ketirisan atau salah guna dalam mekanisme pengagihan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kerajaan perlu melihat aspek itu secara sistematik supaya tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang mengambil kesempatan.

"Dasar membantu rakyat tidak ada kelemahan, dasar memang baik (bagi rakyat). Tetapi masalahnya ialah di peringkat pelaksanaan... tetapi kalau tidak dibuat penilaian, risikonya ialah kerugian semasa pelaksanaan," kata beliau kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Forum dan Penyampaian Sijil Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri Keenam di Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim. Seramai 31 CeIO menerima sijil tauliah daripada Razali.

Katanya; "Syor ini bukan sahaja melibatkan program bantuan kewangan 1Azam atau BR1M (Bantuan Kewangan 1 Malaysia), tetapi semua polisi (bantuan kewangan bagi rakyat)."

Abu Kassim berkata, selain di peringkat pelaksana, ada pemohon yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam menakisme pengagihan.

SPRM sementara mengalu-alukan apa jua pendekatan kerajaan bagi membantu rakyat yang memerlukan sokongan kewangan, pada masa yang sama, berharap mekanisme pengagihan dikaji semula bagi mengelakkan ketirisan.

"Kajian semula ini penting bagi memastikan tidak wujud elemen salah guna atau menyeleweng bantuan yang disediakan.

"Pada pandangan SPRM, elemen salah guna atau penyelewengan wujud di peringkat pelaksana yang melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, dan juga di peringkat pemohon yang memohon bantuan ini," kata beliau lagi.

SPRM juga bersedia untuk memberi khidmat nasihat dan syor kepada Kementerian Kewangan menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan bagi memastikan kemudahan atau program kewangan yang disediakan tidak diseleweng atau tersalah bayar kepada mereka yang tidak layak.

Abu Kassim berkata, Program CeIO merupakan salah satu pendekatan yang dilihat bagi menangani masalah salah guna atau penyelewengan bantuan kewangan disediakan oleh kerajaan.